Pages - Menu

Sunday, July 1, 2012

6,000 daftar portal K3G

KUALA LUMPUR: Portal rasmi Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Graduan (K3G) anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang dibangunkan sempena karnival itu mendapat sambutan menggalakkan apabila berjaya menarik lebih 6,000 pengunjung mendaftar pada hari pertama K3G berlangsung.

Koordinator K3G, Mohd Ramesh Krishna berkata, portal berkenaan bagi memudahkan orang ramai mendaftar dan memasukkan butiran diri, khususnya kelulusan, kemahiran dan pengalaman bagi membantu KPT mengumpul data graduan institusi pengajian tinggi di negara ini, termasuk yang mendapat pekerjaan, jumlah pengunjung dan majikan terbabit.


“Pendaftaran di laman portal K3G juga bertujuan membekalkan maklumat dan butiran diri pengunjung secara langsung kepada majikan yang boleh dijadikan medium untuk berhubung terus dengan calon. Pengunjung bukan saja boleh mendaftar ketika karnival, malah dibuka secara berterusan.


“Kita hanya menetapkan sasaran 10,000 yang berdaftar dalam portal K3G sepanjang tiga hari karnival, namun dengan sambutan menggalakkan sejak hari pertama lagi, kita yakin dapat melepasi sasaran,” katanya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.


Karnival sejak 2006 itu antara usaha kementerian membantu graduan mendapat maklumat mengenai kerjaya dan keusahawanan di bawah satu bumbung.



Karnival turut menyediakan ceramah kerjaya dan keusahawanan yang menampilkan tokoh terkenal seperti Norman KRU, Datuk Mokhzani Mahathir, Jason Loo, Khairy Jamaluddin serta wakil agensi lain, termasuk Media Prima selain bertemu selebriti tanah air seperti Ana Rafali dan Hafiz Hamidun, bermula jam 10 pagi esok.

Mohd Ramesh berkata, portal K3G juga memberi peluang majikan yang tidak dapat menempah gerai menawarkan peluang pekerjaan kepada graduan dan orang ramai.


“Ruang pameran hanya terhad kepada 150 pempamer menyebabkan portal ini berguna kepada mereka. Sehingga kini, lebih 400 syarikat mendaftar dalam portal K3G,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut menyasarkan 100,000 mendaftarsehingga penghujung tahun ini.


“Mereka boleh melayari laman web www.k3g.com.my untuk pendaftaran dan maklumat lanjut. Pengunjung bertuah berpeluang memenangi iPad 3, iPhone 4S, I Pod Shuffle dan I Pod Touch pada hari karnival dari 29 Jun hingga esok (hari ini),” katanya. Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Aisyah Mohd Sani, 23, berkata karnival memberi peluang kepada graduan mencari peluang pekerjaan.


sumber-HMetro

No comments:

Post a Comment