KOTA BHARU – Seorang pelajar sekolah tidak menyangka gumpalan kertas
surat khabar berlumuran darah yang ditemuinya semalam dalam perjalanan
ke sekolah, mengandungi seorang bayi lelaki yang masih hidup.
Mohd Razif Zaid, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Mas
di sini berkata, dia menemui bayi berkenaan dalam kertas surat khabar di
tepi semak ketika berjalan ke sekolah bersama seorang rakan pukul 7.20
pagi.
“Saya bersama rakan terkejut apabila ternampak kertas surat khabar
itu penuh dengan darah di tepi semak dan apabila mendekati melihat
seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan ditinggalkan di
situ.
“Saya kemudian memberitahu pekerja kantin sekolah mengenainya sebelum
dia (pekerja kantin) menghubungi polis untuk tindakan seterusnya,” kata
Mohd Razif kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.
Pelajar itu berkata, bayi itu masih bertali pusat dan tidak menangis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Azham Othman ketika
dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan berkata, bayi berkenaan
kini ditempatkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk
pemeriksaan susulan.
sumber – BERNAMA
No comments:
Post a Comment