Muhammad Taufiq Daniall Amriizwan koma dipercayai didera. |
Bapa mangsa menunjukkan gambar anaknya yang kini sedang dalam rawatan. |
ALOR SETAR - Seorang bayi lelaki berusia lima bulan, koma selepas mengalami pendarahan otak dipercayai akibat hentakan kuat pada kepala hujung bulan lalu.
Ia kini sedang menjalani rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
Kejadian malang yang menimpa Muhammad Taufiq Daniall Amriizwan, dipercayai berlaku sewaktu berada dalam jagaan pengasuhnya yang berusia lingkungan 50-an, di Kulim.
Ibunya, Rosmira Ramli, 28, berkata, Muhammad Taufiq menjalani pembedahan mengeluarkan darah beku di bahagian otak pada hari dimasukkan ke hospital iaitu 20 Jun lalu.
"Namun sehingga hari ini, bayi saya masih tidak sedarkan diri dan dimaklumkan oleh doktor bahawa peluang untuk sembuh agak tipis," katanya kepada media di pekarangan HSB, hari ini.
Beliau tidak mengetahui punca kejadian dan hanya dimaklumkan pengasuh bahawa bayinya tiba-tiba tidak sedarkan diri dan kebiruan.
"Pengasuh maklumkan bahawa dia sempat memberi susu dan sendawakan bayi saya sebelum membiarkannya tidur sementara pergi melihat kanak-kanak lain dalam jagaannya.
"Namun tidak lama kemudian, dia kata terdengar suara bayi saya menangis dengan kuat sebelum menyedari Muhammad Taufiq bertukar kebiruan dan tidak sedarkan diri," katanya yang bekerja di sebuah pasar raya di Kulim.
Rosmira berkata, hasil pemeriksaan doktor menunjukkan bahawa Muhammad Taufiq mengalami pendarahan otak dan ia hanya boleh berlaku akibat hentakan kuat.
"Saya hairan bagaimana perkara itu berlaku sedangkan pengasuh mendakwa tidak tahu apa-apa dan hanya sedar apabila bayi saya tidak sedarkan diri.
"Apatah lagi apabila Muhammad Taufiq berada dalam keadaan sihat dan aktif pada sebelah pagi sebelum dihantar ke rumah pengasuh pada hari kejadian. Apa pun saya serahkan kepada polis untuk siasat," katanya yang agak kesal dengan kejadian itu.
Susulan itu, satu laporan dibuat oleh doktor dari jabatan kanak-kanak Hospital Kulim pada 20 Jun di Balai Polis Kulim manakala laporan kedua dibuat bapa mangsa, Amriizuan Ibrahim, 29, pada keesokan harinya di Balai Polis Langgar (Kota Setar).
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh mengesahkan menerima laporan mengenai kes berkenaan dan siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana kecuaian.
"Tiada unsur dera sebab tiada kesan cedera pada luaran badan mangsa. Polis sudah merakamkan keterangan pengasuh sebelum menyerahkan laporan siasatan kepada pihak pendakwaan," katanya.
sumber- Sinar
No comments:
Post a Comment