KUALA LUMPUR: Lebih 50 peratus daripada ahli Persatuan Kebajikan Orang Kurang Upaya (OKU) Penglihatan Bekerja Sendiri (PKB) melakukan aktiviti ‘menarik’ atau menjual tisu dari restoran ke restoran sambil dipimpin orang celik sekitar Lembah Klang.
Presiden PKB, Raja Zainuddin Raja Ghazali berkata, antara 50 hingga 60 ahlinya terdiri daripada kaum lelaki berusia 30 tahun ke atas aktif mencari rezeki melalui penjualan tisu di restoran semata-mata menyara kehidupan keluarga masing-masing.
Sambil menafikan kegiatan dilakukan mereka adalah meminta sedekah, Raja Zainuddin mengakui langkah berkenaan sebagai satu daripada alternatif yang mampu dilakukan golongan buta akibat kesukaran mendapat peluang pekerjaan lain atas kekurangan dimiliki.
“Boleh dikatakan setiap ahli PKB mahupun orang buta secara keseluruhan mempunyai pelajaran, namun mereka tidak memiliki pilihan pekerjaan melainkan peluang ini untuk mencari rezeki.
“Saya juga menafikan wujudnya sindiket memanipulasi golongan buta didalangi orang celik kerana sepanjang pengetahuan saya, OKU itu sendiri mengetuai aktiviti ‘menarik’ dan dibantu wanita warga asing, khususnya Indonesia. Malah pembahagian keuntungan turut ditentukan si buta.
“Orang buta memerlukan bantuan daripada si celik untuk bergerak lebih mudah dan cepat untuk melakukan jualan, jadi warga asing ini memainkan peranan membantu OKU di samping menerima sedikit imbuhan sebagai ganjaran,” katanya.
sumber- HMetro
No comments:
Post a Comment