MAKSIAT... seorang pelanggan tanpa segan silu melakukan aksi tak senonoh. |
KUALA LUMPUR: Ketika individu seusia sibuk bertadarus atau melakukan ibadat sunat sementara menunggu sahur, sekumpulan warga emas yang mengunjungi beberapa pusat hiburan di Lembah Klang terus hanyut dengan gelekan alunan irama dangdut premis berkenaan sambil dibelai pelayan pelanggan (GRO) muda.
Lebih memalukan, ada di antara warga emas terbabit tanpa segan silu meneguk minuman keras, seolah-olah tiada langsung perasaan bersalah melakukan maksiat di bulan puasa.
Malah, difahamkan, ada di kalangan GRO berkenaan boleh dibawa ‘tidur’ jika bayaran ditawarkan warga emas itu memuaskan.
Tinjauan Metro Ahad di dua kelab dangdut di ibu negara awal pagi semalam mendapati, meskipun bilangan pengunjung tidak seramai hari biasa, kelab berkenaan masih tidak sepi daripada kunjungan warga emas yang dahagakan hiburan dan belaian gadis muda.
Agak menggelikan hati apabila ada di kalangan warga emas itu seolah-olah jalan bertatih kerana kepenatan akibat terlalu lama berdangdut bersama wanita muda di pentas tarian.
Selain hanyut menari dangdut bersama perempuan muda, ada juga yang asyik bercengkerama dengan GRO di sofa masing-masing dalam kelab berkenaan.
Pemerhatian mendapati ada antara mereka yang datang bersendirian, ada juga berdua dengan rakan. Di satu penjuru kelab malam ini, ada juga meja diduduki beberapa pemuda yang asyik meneguk arak.
Wartawan bersama sumber, dikenali sebagai Rahim, 54, diberitahu kebanyakan warga emas berkenaan adalah pelanggan tetap yang turut membawa kenalan mereka.
Menurutnya, yang dikesalkan, masih ada pengunjung tidak menghormati bulan puasa kerana sanggup meneguk arak, sedangkan kebanyakan mereka adalah lelaki berusia yang bergelar ketua keluarga.
“Ramai warga emas gemar berkunjung ke situ memandangkan bayaran GRO hanya semurah RM40 dan kebanyakan mereka muda serta bergetah.
“Jika mahu berdangdut sampai ke sahur pun tidak mengapa, malah jika hendakkan lebih privasi, boleh tempah bilik karaoke dan buatlah apa saja dengan GRO berkenaan,” katanya.
Rahim tidak menafikan rata-rata GRO terbabit tidak hanya sekadar peneman untuk berdangdut, sebaliknya jika kena harga, mereka boleh dibawa ke ranjang.
“Jika hendakkan wang lebih, mereka tiada pilihan melainkan memujuk pelanggan untuk ‘tidur’ bersama,” katanya.
Dalam pada itu, wartawan mengambil peluang mendekati seorang GRO dikenali sebagai Liza, 26, yang baru setahun bekerja di situ.
Difahamkan, Liza antara GRO ‘panas’ yang menjadi rebutan pelanggan tetap kelab itu, termasuk warga emas.
Selepas menempah minuman bersama, Liza tanpa segan silu menunjukkan sedikit aksi dangdut pemanas badan bersama rakan wanitanya.
sumber- HMetro
No comments:
Post a Comment