Pages - Menu

Saturday, July 21, 2012

Geng langgar, samun tumpas

KUALA LUMPUR: Enam lelaki dikenali sebagai ‘Geng Motorbike Fendi’ yang aktif melakukan samun menggunakan taktik melanggar kereta mangsa sebelum menyamun ditahan dalam beberapa serbuan Rabu, kelmarin dan semalam, di sekitar ibu kota.

Setakat ini, geng berkenaan terbabit dalam 10 kes. Hasil penahanan itu, polis merampas 29 barangan berharga yang disamun termasuk komputer riba, telefon bimbit dan jam tangan pelbagai jenama yang bernilai RM50,000.

Mangsa geng berkenaan adalah pemandu yang memandu kereta seorang diri di kawasan sunyi. Mereka melanggar kereta mangsa sebelum mangsa berhenti dan melihat apa yang berlaku. Ketika itu, mereka mengeluarkan parang dan menyamun mangsa.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, penahanan anggota geng terbabit dibuat hasil aduan seorang peguam yang menjadi mangsa terbaru geng itu.

Katanya, dalam kejadian 30 Jun lalu itu, jam 3.10 pagi, mangsa yang berusia 34 tahun memandu seorang diri di kawasan Taman Danau Desa, di sini, sebelum keretanya dilanggar seorang lelaki menaiki motosikal Honda EX5.

“Sebaik dilanggar, mangsa keluar dari kereta untuk berbincang sebelum dua lelaki lain yang menaiki sebuah motosikal memberhentikan kenderaannya di depan kereta mangsa.

“Mereka berpura-pura mahu menyelesaikan masalah itu sebelum mengeluarkan parang menyebabkan mangsa ketakutan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di sini, semalam.


Beliau berkata, mangsa yang ketakutan memberi RM100 kepada seorang daripada mereka sebelum dua suspek lain menyamun kereta dan membawa lari barangan berharga termasuk komputer riba, telefon bimbit dan jubah peguam.

Susulan aduan itu, Wan Abdul Bari berkata, pihaknya membuat siasatan lanjut dan menahan seorang lelaki Rabu lalu pada jam 6.15 petang di sebuah apartmen di Bandar Sri Permaisuri.

Katanya, dalam serbuan itu pihaknya turut merampas 27 barangan berharga yang disamun kumpulan terbabit.

“Hasil soal siasat, empat lagi anggota geng terbabit ditahan iaitu seorang di Taman Permai Jaya, Ampang dan tiga suspek lagi termasuk ketuanya bernama Affendi di flat Sri Melaka, Cheras, kelmarin.

“Ketua geng itu didapati ada dua rekod lampau iaitu kes samun dan suspek bunuh. Seorang lagi suspek yang berusia 21 tahun ditahan di Plaza Low Yat, jam 9 pagi, semalam, ketika sedang melakukan urusan penjualan barangan yang disamun.

“Mereka direman sehingga 25 Julai ini bagi siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, dengan penahanan enam suspek itu, pihaknya menyelesaikan 10 kes langgar dan samun di Brickfields.

sumber-HMetro

No comments:

Post a Comment