Hubungan antara manusia dan bangunan menjadi tema pertandingan kali ini iaitu Building People. |
BERITA baik kepada peminat dunia fotografi. Jika anda mempunyai koleksi foto-foto menarik yang dirakam lensa kamera masing-masing, jangan ketinggalan untuk menyertai pertandingan fotografi berprestij anjuran CapitaLand Berhad dengan kerjasama National Geographic Channel.
Bertemakan Building People, pertandingan peringkat serantau itu kembali diadakan buat kali ketiga dan turut memberi peluang kepada peserta mengikuti seminar fotografi yang dikendalikan oleh jurufoto pemenang anugerah National Geographic, Annie Griffiths.
Di samping itu, peserta juga boleh memenangi akses istimewa ke jejak fotografi Griffiths yang diadakan buat julung kalinya di Singapura pada bulan Ogos 2012.
Pertandingan ini telah bermula pada 13 April lalu dan tarikh tutup untuk menghantar penyertaan adalah pada 10 Jun 2012. Para peserta dikehendaki merakam gambar-gambar bercirikan interaksi bertenaga antara bangunan-bangunan CapitaLand.
Ini termasuklah kediaman, pejabat, pusat beli-belah, kediaman servis, pembangunan bercampur serta manusia yang berada di bangunan tersebut.
Selain Griffiths, panel pengadilan turut dibarisi oleh para eksekutif dari National Geographic Channel dan CapitaLand yang akan menilai semua penyertaan berdasarkan nilai estetik, keaslian, kreativiti dan sejauh mana ia menepati tema yang ditetapkan.
Inspirasi landskap
Pengadil juga akan mencari penyertaan kreatif yang menggambarkan cara bangunan-bangunan CapitaLand menginspirasikan landskap dan cara manusia berinteraksi dengan bangunan-bangunan itu setiap hari.
WALAUPUN tidak bernyawa, sudut rakaman yang betul pada sesebuah bangunan mampu menjadikan ia kelihatan 'hidup'. |
Untuk menyertai pertandingan ini, peserta telah menghantar foto asli berserta dengan kapsyen kepada laman web Pertandingan Fotografi Building People CapitaLand- National Geographic Channel iaitu www.capitaland.com/ngc-photo.
Tahun lalu, pertandingan tersebut telah menerima lebih daripada 1,200 penyertaan foto dari negara-negara Asia Pasifik dan Eropah termasuk Singapura, China, Australia, Vietnam, Malaysia, Indonesia dan Perancis.
Bagi penyertaan yang berjaya, peserta akan dijemput menghadiri Seminar Fotografi Building People CapitaLand-National Geographic Channel yang eksklusif.
Dalam seminar itu, Griffiths akan berkongsi tip fotografi yang tidak ternilai khususnya dalam merakam gambar-gambar bangunan dan manusia. Semua peserta juga berpeluang untuk mempamerkan hasil kerja seni mereka pada pameran fotografi Building People CapitaLand-National Geographic Channel yang akan berlangsung di ION Orchard Singapura pada penghujung tahun ini.
Tiga pemenang utama akan membawa pulang baucer Capita bernilai sehingga SGD5,000 (RM12,295), kamera dan aksesori berjenama Nikon serta hadiah bermalam di mana-mana kediaman servis Ascott di serata Asia Pasifik.
Orang ramai pula boleh mengundi foto kegemaran mereka melalui laman web pertandingan bermula Julai 2012.
Pemenang dengan foto undian tertinggi akan dianugerahkan Pilihan Pengundi bersama dengan baucer Capita dan hadiah bermalam di kediaman servis Ascott.
sumber- Kosmo
No comments:
Post a Comment