Penduduk di Taman Kulim Perdana dekat sini digemparkan dengan penemuan lembaga wanita berambut panjang, serba putih yang sering bertenggek di palung air di selekoh masuk ke taman perumahan itu pada waktu malam.
Pekerja industri, Hamzah Mohamad, 32, berkata, dia pernah ternampak lembaga itu sekitar jam 1 pagi ketika dalam perjalanan balik ke rumahnya.
Menurutnya, lembaga itu sangat menggerunkan kerana ia dapat dilihat dari jauh.
“Ketika kejadian saya baru sahaja selesai menghantar pekerja industri yang bekerja petang balik ke rumah.
“Saya kemudiannya menggunakan jalan pintas di hadapan Politeknik Kulim untuk ke Sungai Kob. Dari jarak 40 meter sebelum sampai ke selekoh masuk ke Taman Kulim Perdana, saya nampak kelibat seorang wanita berdiri di tepi jalan.
“Apabila jarak saya semakin hampir dengan selekoh itu, saya nampak dengan jelas lembaga itu bertenggek di atas paip air. Lebih menakutkan apabila dia memandang ke arah saya di mana kepalanya berpusing hingga ke belakang,” katanya.
Sementara itu, seorang pengamal perubatan tradisional yang hanya mahu dikenali Rosli berkata, lembaga yang dilihat selama ini adalah langsuir.
“Langsuir ini merupakan seorang wanita yang terbunuh ketika bersalin atau dibunuh. Mungkin lembaga itu pernah terbunuh dalam kemalangan di sekitar kawasan itu.
“Bagi mereka yang menggunakan jalan itu harus lebih berhati-hati kerana kecuaian atau terlalu memberikan perhatian kepadanya akan mengakibatkan mereka terlibat dalam kemalangan,” katanya.
No comments:
Post a Comment