PERIKSA...pasukan penyelamat melakukan siasatan di rumah teres dua tingkat yang terbakar, semalam.
|
SUBANG JAYA: “Selepas kira-kira seminit, suara mereka meminta tolong senyap. Saya ingat mereka selamat, rupa-rupanya semua mati,” kata lelaki warga Bangladesh, Md Rubel, 27, yang terselamat dalam kebakaran mengorbankan lima nyawa rakan serumahnya di Taman Puchong Perdana, di sini, awal pagi semalam.
Rubel yang cedera di kedua-dua kaki berkata, dia amat sedih dan terkejut apabila diberitahu semua lima rakan serumahnya rentung dalam kebakaran yang memusnahkan rumah teres dua tingkat yang mereka sewa.
Menceritakan semula kejadian, Rubel berkata, dia dan seorang lagi rakannya yang terselamat, Bilal Hussein, 29, tidur di tingkat bawah manakala lima mangsa tidur di dua bilik berasingan di tingkat atas ketika kejadian kira-kira jam 3 pagi itu.
“Saya terjaga daripada tidur selepas berasa sangat panas sebelum mendapati keadaan gelap berikutan bekalan elektrik terputus. Apabila buka pintu bilik saya mendapati api sudah marak di ruang tamu.
“Menyangkakan Bilal yang tidur di ruang tamu sudah tidak dapat diselamatkan, saya masuk semula ke dalam bilik dan meminta bantuan jiran sebelum mereka bertindak memecahkan tingkap bilik dan membawa saya keluar,” katanya.
Menurutnya, selepas berjaya dikeluarkan, dia masih lagi mendengar jeritan rakan-rakannya di tingkat atas merayu diselamatkan sebelum suara itu hilang kira-kira seminit selepas itu.
“Tidak berapa lama selepas itu, pasukan bomba dan penyelamat tiba dan berjaya memadamkan api. Ketika itulah saya diberitahu, lima rakan termasuk dua adik beradik rentung dan seorang daripadanya ditemui di dalam bilik air.
“Kami tinggal (sewa) di rumah ini sudah lebih dua tahun dan ini kali pertama kebakaran berlaku,” katanya dalam keadaan sebak.
Dia berkata, tiada barang berharga atau dokumen penting yang sempat diselamatkan kerana kejadian berlaku begitu pantas.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Bomba Selangor, Mohd Sani Harul berkata, bomba menerima panggilan kecemasan jam 3.25 pagi dan tiba di tempat kejadian sembilan minit kemudian.
“Dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Puchong serta Subang Jaya dikejarkan ke tempat kejadian dengan kekuatan pegawai dan anggota seramai 15 orang.
“Kami masih lagi menyiasat punca sebenar kebakaran, bagaimanapun siasatan awal mendapati berkemungkinan daripada litar pintas,” katanya.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, rumah teres dua tingkat berkenaan disewa lapan warga Bangladesh, namun ketika kejadian hanya tujuh orang berada di dalam rumah manakala seorang lagi berada di surau berdekatan.
Menurutnya, mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Sarova Baboo, Ruman, Md Basir, Md Farouk, dan Abdullah Al Farhad berusia 24 hingga 28 tahun.
“Dua mangsa bekerja di kilang di Puchong Perdana, dua lagi mangsa yang juga adik-beradik bekerja di pusat mencuci kereta, manakala seorang lagi menuntut di sebuah kolej swasta di Puchong,” katanya.
Yahaya turut berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada litar pintas dan tiada sebarang unsur khianat atau jenayah.
Menurutnya, semua mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Serdang (HS) untuk bedah siasat.
sumber-HMetro
No comments:
Post a Comment