Anggota penguatkuasa menunjukkan bungkusan minuman yang diletakkan di bahagian bonet kereta. |
Sayur kacang yang siap dimasak antara barang yang dirampas. |
ALOR SETAR- Tanpa rasa segan atau malu, peniaga makanan dan minuman sanggup melanggar syarat waktu perniagaan di bulan Ramadan semata-mata untuk memberi kemudahan kepada kaki ponteng puasa mendapatkan makanan sebelum jam 3 dan waktu berbuka.
Gerai yang berselindung di sebalik kenderaan pacuan empat roda dan ditutup menggunakan kain kanvas di Jalan Gangsa mula menjadi tumpuan kaki ponteng kira-kira dua hari lalu apabila menyediakan nasi, lauk dan minuman kepada pembeli.
Pembantu gerai ketika ditemui berkata, perniagaan yang mula dijalankan pada jam 9.30 pagi dan mula dikunjungi pengunjung sekitar jam 11 pagi itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung terutama kaki ponteng puasa.
Dia berkata, kebiasaannya pengunjung yang membeli bungkusan makanan di gerai itu akan berselindung di sebalik topi keledar yang dipakai.
“Nasi berlauk ayam gulai dan ikan kembung goreng dijual dengan harga sekitar RM4 manakala minuman seperti air sirap dijual dengan harga RM1.
“Kebiasaannya saya akan membeli ikan atau bahan lain lalu terus dibawa ke sini dan kami akan memasak sebanyak lima kilogram (kg) beras untuk satu hari,” katanya kepada pemberita pada Ops Ramadan yang dijalankan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) bersama-sama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) dan Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar.
Sinar Harian mendapati biarpun gerai yang menjual lauk seperti ayam dan ikan goreng, sayur kacang panjang dan minuman itu kotor serta dipenuhi lalat namun ia masih mendapat sambutan daripada pengunjung.
Lebih teruk apabila terdapat perangkap tikus yang diletakkan bersebelahan dengan pembakar ikan di bawah kabinet makanan.
Jual dalam kawasan semak
Operasi yang turut dijalankan di kawasan Terminal Bas Shahab Perdana juga mendapati terdapat sebuah kereta jenis Proton Saga yang sedang menunggu pelanggan membeli nasi dan minuman bungkus yang telah disediakan.
Lelaki yang berusia 55 tahun itu meletakkan bungkusan makanan minuman sejuk di dalam plastik hitam dan diletakkan di bahagian bonet sementara menunggu pelanggan.
Lelaki yang menjadikan kawasan tersembunyi berhampiran kawasan semak itu kelihatan tidak senang duduk apabila perniagaannya diserbu penguatkuasa.
Modus operandi bertukar
Sementara itu, Ketua Bahagian Penguatkuasa Bahagian MBAS, Saifullizam Othman berkata, hasil dua hari operasi itu dijalankan sejak kelmarin, sebanyak sepuluh premis telah diserbu.
Saifullizam berkata, tahun ini modus operandi peniaga yang beroperasi sebelum jam 3 petang telah bertukar kepada menjual makanan dan minuman yang siap dibungkus menggunakan kenderaan seperti kereta.
“Sepanjang Ops Ramadan ini dijalankan, kita telah menyerbu 10 lokasi perniagaan yang menjalankan perniagaan makanan dan minuman sebelum jam 3 petang termasuk empat perniagaan yang dijalankan menggunakan kereta.
“Empat lokasi yang menjalankan perniagaan di dalam bonet kereta yang berjaya kita kenal pasti adalah di Mergong, Alor Janggus dan Gunung Keriang,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Saifullizam berkata, peniaga turut memberi kemudahan kepada pelanggan mereka dengan memberikan harga pakej sekitar RM5 untuk nasi berlauk dan minuman.
Dia berkata, operasi yang membabitkan 15 anggota di bawah pasukan khas yang ditubuhkan untuk Ops Ramadan ini akan dijalankan secara berterusan sepanjang bulan Ramadan.
Menurutnya, di bawah Undang-undang Kecil Perlesenan Penjaja dan Gerai MBAS 2012, kompaun sebanyak RM300 dikenakan kepada mereka yang menjalankan perniagaan makanan sebelum jam 3 petang.
“Peniaga boleh mengambil barang mereka semula selepas jam 3 petang dengan membayar kompaun dan kos pengalihan yang bergantung kepada barang yang dirampas.
“Tindakan yang dilakukan ini bukan bertujuan menghukum peniaga malah ia untuk mengelakkan peniaga menjalankan perniagaan di luar waktu yang ditetapkan,” katanya.
sumber- Sinar
No comments:
Post a Comment