Pages - Menu

Friday, July 13, 2012

Kes tembak: Seorang disahkan mati, seorang lagi stabil - Polis Kuching

KUCHING: Seorang daripada mangsa kejadian tembak di sebuah kafe di Taman Green Height, Jalan Lapangan Terbang semalam, disahkan meninggal dunia hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad berkata mangsa yang berusia 31 tahun itu disahkan mati awal pagi tadi akibat kegagalan otak berfungsi.

Seorang lagi mangsa yang berusia 69 tahun dilapor stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak, katanya kepada pemberita selepas menghadiri upacara penghormatan terakhir Insp Renggie Anak Deli yang pernah menerima pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa, di sini.

Dalam kejadian 11 pagi itu, kedua-dua mangsa sedang duduk minum di meja berasingan apabila seorang lelaki bersenjatakan senapang patah menghampiri mangsa berusia 31 tahun tersebut dan melepaskan tembakan pada jarak dekat di kepala mangsa.



Serpihan tembakan turut mengenai warga emas di meja berhampiran yang cedera di tangan kiri dan bahagian kiri perut.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Acryl Sani Abdullah yang ditemui pada majlis sama, berkata polis sedang berusaha mengumpul keterangan saksi berhubung kejadian tersebut.

Beliau juga meminta orang ramai tidak membuat spekulasi dan membiarkan polis membuat penyiasatan rapi.

sumber- Bernama

No comments:

Post a Comment