Pages - Menu

Thursday, July 5, 2012

Kisah Crocodile Hunter Malaysia

Kisah Crocodile Hunter Malaysia
 Indet (kiri) berdialog dalam bahasa Iban dengan seekor buaya jantan yang digelar ' Bujang Muara' yang mengaku bersalah menganggu penghuni di Rumah Panjang Sungai Anak, Roban.
MALAM Selasa lalu di Rumah Panjang Nanga Sungai Anak, Roban, penulis dan jurufoto Mingguan Malaysia, Amir Hafiz Abd. Rahman mengambil peluang untuk mengorek rahsia daripada seorang pawang buaya, Indet Sanabong walaupun jarum jam tangan menghampiri detik 12 malam.

Bertemankan satu jag kopi 'o' pekat, kami yang turut disertai oleh seorang pemuda Iban, Mohammad Taufiq Abdullah selaku penterjemah, melontarkan pelbagai persoalan kepada Indet, 49, seperti pengalaman menangkap buaya selama 33 tahun dan unsur mistik yang melingkari pemburuan reptilia ganas itu.

Antara yang mencuri perhatian ialah, Indet percaya Bujang Senang yang berwarna putih masih hidup di Sungai Batang Lupar selain mendakwa pernah menangkap anak buaya legenda itu yang kini ditempatkan Taman Buaya Miri.


Indet juga pernah bertugas di taman buaya berkenaan dan antara bidang tugasnya yang paling mencabar ialah memberus kotoran pada belakang buaya.

Bagaimanapun apabila kami menyatakan hasrat untuk menyertai operasi memburu buaya yang meragut nyawa Siah Munsong, 42, keesokannya, dia sambil tersenyum memberitahu, "kamu tunggu di sinilah, nanti saya bawa balik buaya,".

Penolakan itu membuatkan kami semakin ragu-ragu dengan cerita 'kehebatan' Indet malah seorang kenalan yang tahu penulis sedang menemuramahnya turut menghantar SMS bernada sinis "kau percayalah...bomoh auta tu".

Keesokan paginya, sewaktu menikmati sarapan bersama penghuni rumah panjang berkenaan, Juti, 30, anak sulung Indet menepuk bahu Amir Hafiz sebagai isyarat meminta kami mengikut mereka mencari sang bedal.

MengganasSambil menyusuri Sungai Seblak yang keruh airnya menggunakan sebuah perahu berasingan bersama tuai rumah panjang, Embol Asum, 48, yang juga suami mendiang Siah, pelbagai perkara bermain di benak fikiran penulis dan paling utama pastilah tentang keselamatan diri jika buaya mengganas.

Menghampiri pukul 9 pagi, Indet yang menaiki sebuah perahu bersama adiknya, Tinggi, 45 dan Juti serta dua penghuni rumah panjang memberi isyarat terdapat buaya yang telah memakan umpan.

Degupan jantung penulis semakin kencang apabila Amir Hafiz meminta perahu kami menghampiri Indet yang sedang menarik rotan hidup sepanjang 20 meter yang dijadikan tali pancing untuk merakamkan gambar terbaik.

Daripada jarak 15 meter, penulis menyaksikan bagaimana Indet yang dibantu Juti serta Tinggi cukup bersahaja menarik rotan hidup itu tanpa sebarang tentangan daripada buaya yang telah memakan umpan daging anjing.

Sejurus muncung buaya yang menganga timbul di permukaan, kerisauan penulis bertukar menjadi kagum kerana buaya betina itu pasrah menyerah diri tanpa melawan termasuk tidak melibas ekornya.

Sebelum ditarik ke dalam perahu, mulut buaya berkenaan diikat dan dalam masa seminit selepas itu, keempat-empat kakinya sudah diikat ke belakang.

Rezeki kami cukup murah pada pagi itu kerana kira-kira pukul 10.30 pagi, seekor buaya jantan pula berjaya ditumpaskan dan ia juga 'longlai' apabila berhadapan dengan Indet.

Terdetik di fikiran penulis, adakah Indet telah meracun umpannya namun mengikut logik akal, tidak 'tawarkah' racun yang digunakan selepas berendam semalaman di Sungai Seblak yang berarus itu.

Sepasang buaya jantan dan betina dianggar berusia 25 tahun dengan berat badan 80 kilogram (kg) setiap satu itu kemudiannya dibawa ke darat untuk dibunuh oleh Embol dan ibu mendiang Siah, Jaie Isut, 63.

Sebelum buaya dibunuh, Indet dilihat berbicara dengan buaya dalam bahasa Iban. Antara intipati perbualan itu ialah, dia memberitahu buaya berkenaan bahawa manusia tidak berhasrat memulakan persengketaan dan tindakan mereka menangkapnya adalah pilihan terakhir.

MenyelukBeberapa penghuni rumah panjang termasuk penulis juga tidak melepaskan peluang untuk menyeluk tangan kanan ke dalam mulut buaya yang telah mati kerana ia dipercayai mujarab untuk mengubati bayi yang mengalami masalah keputihan dalam mulut.

Indet kemudiannya memotong hujung ekor buaya itu untuk simpanannya dan apabila ditanya kenapa berbuat demikian, dia memberitahu ia bakal menjadi bukti bilangan buaya yang pernah ditumpaskannya.

Diajukan soalan kenapa buaya menjadi 'longlai' di tangannya, Indet menjelaskan ia berlaku kerana buaya tersebut terkena sumpahan yang dikenali sebagai 'puni' oleh masyarakat Iban lantaran pernah mengganggu manusia dan untuk menghilangkan sumpahan itu, ia mesti menyerah diri dengan memakan umpan yang telah dijampinya.

"Sebab itu saya hentikan pemburuan pada hari kedua, saya telah dapat buaya yang 'jahat', buaya-buaya lain biarlah hidup bebas kerana mereka tidak bersalah," katanya sambil menjelaskan tugasnya pada hari itu ibarat seorang polis buaya.

Dalam pada itu, Indet turut berkongsi petua dengan pembaca Mingguan Malaysia bagaimana untuk mengesan kehadiran buaya selain daripada petunjuk kewujudan udang yang terlalu banyak di sesuatu kawasan.

Katanya, petunjuk yang kurang diketahui ialah apabila terdapatnya banyak kera bergayutan pada pokok di tepi sungai sambil membuat bising.

"Kera ini binatang bodoh, apabila nampak buaya dia panggil kawan-kawan dia tengok dan dia tidak sedar bahawa buaya itu mampu 'menyumpit' mereka.

"Sumpitan buaya berlaku apabila ia menyedut air dengan banyak dan meludahnya dalam bentuk bebola air sebesar baldi untuk menembak kera sehingga terjatuh sebelum membahamnya," ujar bapa kepada enam cahaya mata itu.

sumber- Utusan

No comments:

Post a Comment