Pages - Menu

Thursday, July 19, 2012

Misteri ribuan burung jatuh dari langit


PADA malam itu, beberapa detik sebelum menjelang tahun baru 2011, beribu-ribu ekor burung blackbird jatuh bak hujan hitam di pekan kecil Beebe yang terletak di negeri Arkansas, Amerika Syarikat (AS).

Dianggarkan lebih 5,000 burung hitam bersayap merah jatuh dari langit dan bertaburan di atas jalan, bumbung dan halaman rumah di kawasan seluas 731 meter persegi. Di sesetengah kawasan, tanah bertukar menjadi gelap.

Penduduk setempat yang keluar untuk menikmati pancaran bunga api dan meraikan kedatangan tahun 2011, panik dengan apa yang berlaku dan bergegas memasuki kediaman masing-masing apabila haiwan bertubuh kecil itu mula jatuh di sekeliling mereka.

Ada bangkai yang jatuh mengenai seorang wanita yang sedang berjalan bersama anjingnya manakala seorang lagi terpaksa menggunakan payung untuk melindungi diri.

Seorang penduduk tempatan, Shane Roberts berkata, ia berbunyi seperti hujan batu yang sangat dahsyat di atas bumbung rumahnya.

"Apabila saya keluar, alangkah terkejutnya apabila melihat ketulan-ketulan hitam bertaburan. Apabila saya pergi lebih dekat, ia adalah bangkai burung," katanya yang menyifatkan kematian tersebut sebagai sesuatu yang aneh.

Sementara itu, Penyelia Jabatan Jalan bandar berkenaan, Milton McCullar berkata, ia seperti adegan dalam filem Alfred Hitchcock di mana semua lampu di papan suis kecemasan menyala dan semua orang berada dalam situasi yang mencemaskan.

Kiamat

"Ada penduduk yang panik dan beranggapan dunia hampir kiamat," ujar Ketua Polis tempatan, Ellie Cullum seperti dipetik Mail Online.

Kehadiran ribuan bangkai burung di kawasan kejiranan tersebut diterima sebagai misteri alam.

MISTERI kematian hampir 5,000 burung hitam sayap merah belum dapat dirungkai.
Namun, yang menjengkelkan penduduk setempat ialah apabila pekerja pembersih alam sekitar datang memakai sut kalis api, topi keledar dan topeng gas hanya untuk membuang bangkai burung.

Belum pun reda kes burung jatuh dari langit diperkatakan, pakar pengkaji haiwan di Arkansas bertambah bingung apabila lebih 100,000 bangkai ikan drum ditemui di sepanjang 32 kilometer di tebing dan permukaan Sungai Arkansas, berhampiran Ozark yang terletak kira-kira 200 kilometer dari bandar Beebe.

Anehnya, hanya spesies ikan drum yang didapati mati sedangkan ikan spesies lain masih hidup.

Adakah kejadian aneh ini mempunyai kaitan antara satu sama lain?

Terdapat beberapa teori yang diketengahkan oleh pihak tertentu mengaitkan punca kepada misteri kematian haiwan tersebut.

Antaranya, burung terlanggar objek terbang yang tidak dikenali (UFO), hujan batu, tekanan akibat bunyi kuat bunga api dan proses teras bumi menyahmagnet.

Malah, ada juga pendapat mengatakan kejadian tersebut adalah petanda akan berlakunya kiamat pada 2012 seperti yang diramalkan oleh tamadun kuno Maya di Mexico.

Walaupun ini bukan kali pertama AS berdepan dengan kematian spesies haiwan secara misteri, namun kali ini negara Uncle Sam itu gusar dengan apa yang terjadi.

Seorang pakar dari Jabatan Perikanan dan Akuakultur Universiti Arkansas, Dr. Andrew Goodwin berkata, perubahan drastik antara cuaca sejuk dan panas boleh membuatkan ikan terkejut dan membunuh mereka.

"Faktor yang memberi impak kepada ikan itu ialah perubahan suhu yang ketara," katanya.

DI Arkansas, ikan yang mati adalah daripada spesies drumfish sahaja. Peliknya ikan spesies lain yang ada di sungai sama tidak terjejas.
Dalam laman-laman blog, perdebatan mengenai punca kematian haiwan tersebut juga semakin kerap diperbincangkan.

Kali ini ramai yang mengaitkan kematian haiwan-haiwan Arkansas itu ada kaitan dengan konspirasi chemical trail atau jejak kimia yang sering terjadi di negeri itu.

Menurut seorang pengikut teori konspirasi, Jeff Rense, jejak kimia dapat dilihat seperti jejak asap di udara. Ia kemudian akan melebar dan tetap kelihatan untuk tempoh beberapa jam.

Menurut beberapa pihak yang berfikiran sama dengan Jeff, mereka berpendapat jejak itu adalah bahan kimia yang sengaja disembur oleh kerajaan AS sebagai 'kawalan populasi'.

Ada juga berpendapat bahawa jejak itu adalah eksperimen pengendalian cuaca.

Bagaimanapun, teori itu meragukan kerana belum ada penemuan menyatakan semburan bahan konduktif elektrik yang menjadi sebahagian daripada program senjata super elektromagnetik boleh mengendalikan cuaca terutama pemanasan global.

Dalam sebuah buku terbitan badan pengkaji sains dan angkasa AS, mereka menafikan adanya jejak kimia tersebut sebaliknya menyatakan ia adalah wap air dan kristal ais yang membentuk jejak-jejak asap di udara.

Tidak kurang juga yang mengaitkan bunyi kuat daripada dentuman bunga api menyebabkan burung tertekan serta hilang kawalan navigasi sehingga mengakibatkannya melanggar bangunan dan pokok.

Namun, ahli akademik dan pengasas yayasan untuk Institut Kajian Gelagat Burung, Dan Cristol, menolak dakwaan tersebut.

BANGKAI burung hitam yang menghujani kawasan kejiranan Louisiana mendatangkan panik kepada penduduk setempat.
"Pesta sambutan tahun baru dengan dentuman bunga api berlangsung setiap tahun dan mengapa kejadian sama tidak berlaku sebelum ini?

"Sukar untuk meletakkan punca ke atas bunga api melainkan seseorang telah meniup sesuatu ke dalam sarang burung sehingga menyebabkan haiwan tersebut terpelanting ke udara," jelas Dan.

Di sebalik pendirian sebahagian pakar yang mengaitkan cuaca tidak stabil sebagai punca, profesor Fizik dari New York, Michio Kaku berkata, kematian misteri tersebut kemungkinan besar terjadi akibat hentaman angin laju yang ganas yang menghentam kawanan burung berkenaan.

Walau apa pun teori yang dibahaskan, sehingga kini belum ada lagi pihak yang tampil dengan hasil ujian yang boleh membuktikan punca kematian dua spesies haiwan tersebut.

Kematian haiwan yang direkodkan di Arkansas bukan yang terburuk dalam fenomena misteri ini.

Malah, rentetan daripada apa yang berlaku di Arkansas, jumlah bangkai haiwan ditemui di beberapa kawasan di AS seperti Maryland, Texas, Kentucky, Louisiana serta Florida sangat mengejutkan.

sumber- Kosmo

1 comment:

  1. kite smakin hampir..bertaubat la!

    blog saya di http://www.kotak-lirik-lagu.com

    ReplyDelete