Rakaman CCTV menunjukkan pegawai polis menyerang dua pekerja hotel di Seremban 2, kelmarin |
SEREMBAN- Polis sedang menyiasat tindakan seorang pegawai polis berpangkat Inspektor yang menyerang dua pekerja hotel serta merosakkan beberapa kenderaan di Seremban 2, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira 2.50 pagi itu, lelaki berusia 32 tahun berkenaan dikatakan pada mulanya bertikam lidah dengan dua pekerja di kaunter lobi hotel berkenaan akibat tidak berpuas hati atas sebab-sebab tertentu.
Akibat serangan itu, kedua-dua pekerja terbabit mengalami kecederaan. Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes berkenaan.
"Kita masih menyiasat dakwaan mengenai pegawai polis itu yang dikatakan turut merosakkan kenderaan di luar hotel. Punca dia bertindak demikian juga masih disiasat.
"Selain itu, kawad cam akan dilaksanakan dan ketika ini pegawai polis berkenaan ditahan untuk membantu siasa- tan," katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Saiful Azly bagaimanapun menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa pegawai polis terbabit berada di dalam pengaruh dadah atau alkohol ketika kejadian.
"Ujian urin dibuat menunjukkan pegawai polis berkenaan tidak berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol. Kita menafikan dakwaan kononnya dia turut mencederakan seorang daripada mangsa dengan menggunakan pemegang pistol," katanya.
Sementara itu, kejadian amuk berkenaan yang dirakam menerusi kamera rakaman litar tertutup (CCTV) oleh pihak hotel terbabit, turut dimuatkan dalam laman Youtube.
sumber- Sinar
No comments:
Post a Comment