Pages - Menu

Friday, July 27, 2012

Seminggu selepas kematian suami, rumah pula terbakar

 Seminggu selepas kematian suami, rumah pula terbakar
Anggota Bomba dan Penyelamat cuba mengawal kebakaran yang memusnahkan dua buah rumah di Jalan Gajah Mati. - foto BERNAMA
KOTA BHARU - Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, seorang suri rumah yang baru kematian suaminya bernasib malang apabila rumahnya di Jalan Gajah Mati, musnah dalam kebakaran, hari ini.

Kebakaran pada pukul 12 tengah hari itu mengakibatkan Rohani Che Ka, 43, bersama tiga anaknya masing-masing berusia 7 bulan dan 4 serta 6 tahun tinggal sehelai sepinggang.

Sebuah rumah milik jirannya, Hoi Toi Loo, 56, turut musnah. 

Rohani berkata ketika kejadian, dia sedang berehat di ruang tamu selepas menjemput anaknya dari tadika berhampiran dan menyedari kebakaran setelah mendengar jeritan jiran bahawa bahagian atas rumah separuh papan yang disewanya itu terbakar.

"Walaupun semua barang keperluan tidak dapat diselamatkan, saya bersyukur kerana dapat menyelamatkan nyawa kami sekeluarga," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini.

Antara barangan yang musnah ialah pakaian raya ketiga-tiga anaknya serta pelbagai kelengkapan rumah dan perabot.
Menurut Rohani, arwah suaminya Ramli Musa, 44, seorang pemandu teksi meninggal dunia secara mengejut selepas terjatuh di dalam bilik air di rumahnya seminggu lalu.

"Saya reda dengan apa yang berlaku ini, cuma apa yang menyedihkan saya ialah kerana baru saja kematian suami dan terpaksa menanggung tiga anak," katanya.

Empat jentera Bomba dan Penyelamat dengan 15 anggota, iaitu tiga dari Kota Bharu dan sebuah dari Kota Darulnaim berjaya mengawal api daripada merebak dalam tempoh setengah jam.

Pegawai Kanan Bomba dan Penyelamat Kota Baharu Azman Yasok berkata punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat.

sumber- Bernama

No comments:

Post a Comment