Resit nombor ekor yang diterima pasangan suami isteri terbabit dan buku bank menunjukkan pengeluaran wang dibuat. |
ALOR GAJAH – Ghairah memiliki wang bernilai lebih RM100,000, sepasang suami isteri rugi RM14,000 selepas terpengaruh dengan tiket nombor ekor palsu.
Kejadian berlaku 4 Julai lalu, apabila pasangan dari Masjid Tanah, di sini, dihampiri seorang wanita dari negara jiran yang mendakwa dirinya dalam kesusahan.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, pasangan dikenali sebagai Sudin, 74, dan Azimah, 66, didatangi wanita berusia pertengahan 30-an ketika selepas membeli barang di sebuah pasar raya di pekan ini.
Sudin berkata, wanita terbabit tiba-tiba datang dan menyapanya serta mendakwa sedang buntu memikirkan cara mendapatkan wang kerana tidak memiliki pengenalan diri.
“Wanita berkenaan mendakwa kakak iparnya yang mengandung tumpah darah selepas tergelincir di bilik air dan memerlukan rawatan segera di hospital swasta. Dia tak berani bawa ke hospital kerajaan kerana bukan warganegara.
“Selepas berbual seketika, dia menunjukkan sekeping tiket nombor ekor yang dimenanginya dengan hadiah RM130,000 tetapi tidak menuntutnya kerana mendakwa tiada MyKad,” katanya.
Menurutnya, wanita terbabit mahu meminjam wang berjumlah RM30,000 dengan mencagarkan tiket nombor ekor itu.
“Tanpa berfikir panjang, kami segera pulang ke rumah untuk mengambil buku bank dengan menaiki sebuah kereta jenis Toyota Wish dipandu rakan wanita terbabit.
“Kami keluarkan wang RM9,000 dan RM5,000 dari dua bank berbeza sebelum serahkan kepada wanita berkenaan,” katanya.
Sudin berkata, wanita itu berjanji seseorang akan menghubunginya keesokan hari untuk memulangkan semula wang dipinjam.
“Namun, tiada seorang pun menghubungi saya menyebabkan saya menyedari menjadi mangsa tipu,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Masjid Tanah, di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Shaifuddin Shaharuddin mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.
sumber- Sinar
No comments:
Post a Comment