JAUTEH (dua dari kiri) menunjukkan peta panduan perjalanan dan barang rampasan geng pecah rumah pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, Sabah semalam. |
KOTA KINABALU - Hanya berpandukan peta panduan perjalanan, lima penjenayah menggunakan kemudahan itu menyamar sebagai pelancong dan melakukan kegiatan pecah rumah membabitkan kondominium dan apartmen di bandar raya ini sejak sebulan lalu.
Antara lokasi jenayah membabitkan lima suspek termasuk dua wanita itu tertumpu di Kondominium Gress Garden, Kondominium Kristal, Kondominium Signal Hill dan dua apartmen iaitu Noble Court dan Millenium.
Dalam tempoh sebulan lalu, kumpulan tersebut dipercayai sudah terlibat dalam 14 kes pecah rumah membabitkan kerugian RM439,000.
Empat suspek berasal dari Semenanjung manakala seorang suspek wanita merupakan warga China dipercayai teman wanita kepada salah seorang anggota geng tersebut.
Modus operandi kumpulan tersebut mudah, iaitu mereka hanya mengetuk pintu rumah mangsa secara rambang sebelum menanyakan rumah rakan mereka yang kononnya tinggal di kawasan tersebut.
Setelah mangsanya menjawab pertanyaan tersebut, suspek yang biasanya bergerak antara dua dan tiga orang terus mengeluarkan pemutar skru dan mengugut mangsa menyerahkan barangan bernilai milik mereka.
Selain itu, kumpulan penjenayah tersebut turut menggunakan pemutar skru untuk mengumpil rumah lain yang tiada penghuni.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata, kelima-lima suspek berusia 34 hingga 53 tahun diberkas di dua bilik sebuah hotel di sini pukul 4.50 pagi, 22 Ogos lalu.
"Hasil pemeriksaan di dalam dua buah bilik hotel didiami suspek menemui wang bernilai RM847, sebuah iPad, enam buah telefon bimbit termasuk jenis Nokia dan Sony Ericsson, 15 dompet dan beg tangan pelbagai jenama, beberapa barangan kemas seperti cincin dan rantai emas, buku panduan perjalanan dan sejumlah mata wang asing.
"Turut ditemui pemutar skru dan pemotong besi," kata beliau pada sidang akhbar di sini.
Menurut beliau, kesemua barang rampasan tersebut bernilai RM150,000.
sumber- Kosmo
No comments:
Post a Comment