Pages - Menu

Thursday, August 30, 2012

Bayi dalam beg pakaian

Bayi dalam beg pakaian
Mohd Asrad Mohamad, 22, menunjukkan lokasi dan keadaan beg pakaian itu diletakkan sebelum bapanya menyedari terdapat seorang bayi perempuan cukup sifat berada di dalamnya.
KUALA TERENGGANU- Seorang peniaga surat khabar terperanjat besar apabila menemui seorang bayi perempuan di dalam sebuah beg pakaian berwarna biru yang ditinggalkan di depan kedainya di Jalan Sultan Omar, di sini, awal pagi semalam.

Mohamad Ibrahim, 56, dari Jalan Panji Alam, di sini, menemui bayi yang dipercayai sudah beberapa hari dilahirkan dalam beg pakaian semasa dia hendak membuka kedainya bersama seorang pekerja kira-kira jam enam pagi, semalam.

Menurutnya, pada awalnya dia menyangka beg pakaian yang diletakkan di hadapan pintu masuk kedainya itu, milik pelanggan yang tertinggal sebelum mengarahkan pekerjanya yang dikenal sebagai Lan, 28, mengalihkan beg berkenaan.

“Saya memang tidak mengesyaki apa-apa kerana menyangkakan hanya beg pakaian biasa, milik pelanggan yang tertinggal, jadi saya menyuruh Lan letakkan beg itu di atas kerusi tempat menunggu bas yang hanya terletak bersebelahan kedai.

“Bagaimanapun, tidak sampai 15 minit, semasa sedang sibuk mengemas surat khabar untuk dijual, tiba-tiba kami terdengar suara tangisan bayi yang agak kuat menyebabkan kami tergamam seketika,” katanya ketika ditemui di kedainya, semalam.

Katanya, mereka berdua bergegas ke tempat itu dan terus membuka beg pakaian tersebut.

"Kami sangat terkejut  apabila ternampak seorang bayi perempuan yang dibaluti dengan tuala biru hanya hanya dipakaikan kain lampin di dalam beg itu.

“Saya kemudian meminta tolong seorang pelanggan yang secara kebetulan datang ke kedai untuk membeli surat khabar agar memaklumkan kepada pihak polis,” katanya.

Bapa kepada lima anak itu berkata, itu merupakan pengalaman pertama sepanjang 30 tahun dia berniaga surat khabar di situ, bagaimanapun bersyukur kerana bayi malang itu berjaya diselamatkan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, bayi perempuan yang cukup sifat itu dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, untuk mendapatkan rawatan susulan.

“Bayi itu kini ditahan di wad kanak-kanak dan dilaporkan dalam keadaan sihat. Bagaimanapun, sehingga kini, identiti bayi itu masih belum dikenal pasti tetapi kami percaya bayi itu mungkin sudah beberapa hari dilahirkan berdasarkan tali pusatnya sudah tercabut,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Menurutnya, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengesan individu bertanggungjawab ke atas bayi itu dan kerjasama daripada orang awam yang mengetahui atau ternampak kejadian berkenaan amat diperlukan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penemuan bayi itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Kata Manoharan, kes berkenaan kini akan disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana buang bayi yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

sumber- Sinar

No comments:

Post a Comment