Pages - Menu

Saturday, August 18, 2012

Bertelagah ketika menyamun

pukul dengan batang paip
Izuan (kanan) memeriksa 29 jahitan dikepala bapanya, Ismail yang dipukul perompak dengan batang besi paip.
REMBAU – Tindakan seorang perompak memukul kepala mangsa dengan batang paip besi menyebabkan dia dimarahi salah seorang daripada empat ahli kumpulan yang lain dalam kejadian samun di Kampung Anak Air Kundur, di sini, awal pagi semalam.

Rakan perompak berkenaan memarahinya kerana tidak bersetuju dengan tindakan keterlaluan itu, malah salah seorang ahli kumpulan sempat beristighfar apabila melihat mangsa samun berkenaan cedera.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, sekumpulan lima perompak bertindak memecah masuk rumah didiami seorang pesara tentera, Ismail Yunus, 65. di kampung berkenaan.

Ismail berkata, ketika kejadian, dia bersama anak lelakinya tidur di ruang tamu rumah, sementara isteri Ismail, Jainon Jais, 55, tidur dalam bilik.

Menurutnya, dia terpinga-pinga apabila dikejutkan dari tidur oleh lima perompak terbabit.

"Berdasarakan dielek percakapan, perompak itu merupakan warga asing. Kumpulan perompak itu menutup sebahagian muka saya dan anak saya dengan kain itu, namun saya tidak sedar perompak itu mengarahkan kami diam.

“Saya bertanya 'kenapa?', menyebabkan mereka terkejut dan secara tiba-tiba salah seorang daripada perompak berkenaan memukul kepala saya dengan batang besi paip sehingga darah bercucuran membasahi baju saya," katanya.

Katanya, tindakan perompak itu menyebabkan salah seorang daripada ahli kumpulan memarahi tindakannya itu.

"Dengan keras, dia mengingatkan rakannya bahawa tujuan datang ke rumah adalah untuk merompak dan bukan membunuh orang,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di satu lagi kediamannya di Desa Permai Pedas, di sini, semalam.

Menurut Ismail, dia turut melihat salah seorang perompak beristighfar kerana tidak setuju dengan tindakan meluru rakannya itu.


Perompak bantu hentikan darah

ANAK lelaki Ismail, Mohd Izzuan Ismail, 31, menceritakan, selepas ayahnya dipukul, salah seorang perompak sempat membantu menghentikan pendarahan di kepala ayahnya dengan mengikat menggunakan kain pelikat.

"Ketika itu, selimut yang digunakan menutup muka saya terjatuh dan nampak perompak berkenaan bersungguh-sungguh mengikat kepala ayah saya.

“Selepas itu, perompak berkenaan dengan pantas menutup kembali muka saya dan mengarahkan kami diam. Masa itu, saya sebenarnya sangat risau dengan keadaan ayah yang cedera di kepala," katanya.

Izzuan berkata, kira-kira 3.45 pagi, perompak berkenaan melarikan diri sebelum dia bersama ayah dan ibu tirinya itu berjaya melepaskan ikatan.

"Disebabkan semua telefon bimbit dilarikan perompak itu, kami bergegas keluar dari rumah menahan kenderaan orang awam untuk mendapatkan bantuan," katanya.

Izzuan yang merupakan kakitangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri berkata, dia tidak menyangka gerak hati datang ke rumah ayahnya dan mengambil keputusan untuk bermalam akibat keletihan, membantu mengurangkan
keresahan ayahnya yang mungkin panik jika berhadapan situasi berkenaan berseorangan.

"Malam tadi (kelmarin), saya tergerak datang ke rumah ibu tiri saya untuk menghantar sehelai baju kemeja dan kain pelikat baru, sebagai hadiah hari raya.

“Biasanya saya tidur lewat, namun selepas solat Terawih sekitar 10 malam, saya mengantuk menyebabkan saya ambil keputusan untuk tidur bersama ayah," katanya.

Katanya, dia tidak sedar ketika perompak berkenaan masuk ke rumah menerusi tingkap yang dipotong besinya dan beberapa kepingan cermin dikeluarkan.

"Sebelum perompak melarikan diri, mereka meminta kunci kereta saya menyebabkan saya terpaksa menyerahkan kunci berkenaan kerana bimbang diapa-apakan," katanya yang kehilangan kereta jenis Perodua Alza biru bernombor pendaftaran NCP 2558.


Hanya ambil wang RM50

SEMENTARA itu, Jainon berkata, buat masa ini barangan yang dikesan hilang adalah wang tunai kira-kira RM50, tiga telefon bimbit milik mereka tiga beranak, baju raya Ismail yang baru dibeli anak tirinya itu, serta kereta milik Izzuan.“Bagaimanapun, dokumen pengenalan diri kami tidak dilarikan perompak.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Mizan Md Dom mengesahkan insiden berkenaan.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, perompak berkenaan memecah masuk rumah dengan bersenjatakan parang, kayu dan batang besi paip yang digunakan memukul kepala mangsa. 

“Mangsa dikejarkan dengan ambulans bagi mendapat rawatan lanjut di Hospital Tuanku Ja'afar, beberapa jam selepas kejadian," katanya.

Akibat pukulan berkenaan, Ismail menerima 29 jahitan di kepala.

sumber- Sinar

No comments:

Post a Comment