Nazirah bersama Nor Affendi dan Hayyzi Zykril yang didakwa menjadi mangsa kecuaian pihak klinik. |
MALAU - Seorang ibu mendakwa sebuah klinik desa perlu bertanggungjawab di atas kecuaian memberikan suntikan imunisasi sehingga menyebabkan anaknya, Muhammad Hayyzi Zykril Al-Muiz yang berusia empat bulan terpaksa menjalani pembedahan akibat terkena jangkitan kuman di Desa Keda Malau, Jitra, semalam.
Nazirah Ghazali, 25, berkata, bimbang dengan keadaan paha kiri anaknya yang bengkak selepas menerima suntikan ketika berusia sebulan mendorongnya untuk bertanyakan mengenai hal terbabit kepada klinik terbabit.
Menurutnya, selama tiga bulan dia bertanyakan mengenai hal berkenaan namun pihak terbabit hanya membuat andaian bahawa bengkak yang dialami adalah normal.
“Pihak terbabit kemudiannya memberitahu supaya anak saya dibawa ke klinik kesihatan berdekatan namun alasan yang sama turut diberikan oleh mereka mengatakan keadaan anak saya masih trauma kerana sakit.
“Khuatir dengan ketulan paha kiri anak, saya memaklumkan kepada pihak terlibat supaya surat dikeluarkan untuk membuat pemeriksaan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi mengenal pasti kesakitan yang dialami,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, doktor pakar di HSB mengesahkan bahawa ada ketulan yang berukuran empat sentimeter di paha kiri anaknya adalah disebabkan jangkitan kuman.
“Pembedahan terpaksa dilakukan segera pada 15 Ogos lalu untuk membuang ketulan terbabit sebelum ia merebak teruk,” katanya.
Suaminya, Nor Affendi Mohd Zaman, 24, berkata, pekerjaannya sebagai pengawal keselamatan tidak mampu untuk membiayai kos pembedahan anaknya yang tertunggak sebanyak RM1,430.
Menurutnya, dia terpaksa menamatkan perkhidmatannya untuk memastikan anaknya mendapat rawatan susulan setiap hari.
“Saya mohon pihak terlibat bertanggungjawab di atas pembedahan berkenaan dan saya tidak ada tempat bergantung lagi bagi menguruskan kos pembedahan serta ulang alik ke hospital bagi menjalani rawatan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah HSB, Datuk Dr Juita Ghazalie berkata, aduan sudah dimaklumkan kepada Pengarah Kesihatan Negeri supaya siasatan lanjut dapat dijalankan berkaitan kes berkenaan.
Menurutnya, ibu bapa bayi akan dipanggil semula semasa siasatan dijalankan untuk mengenal pasti masalah yang berlaku.
“Aduan sudah disalurkan kepada pihak terlibat dan sebarang keputusan akan dibuat selepas siasatan dijalankan,” katanya.
sumber- Sinar
No comments:
Post a Comment