PAIE dirawat di Hospital Umum Sarawak kerana cedera di punggung akibat digigit buaya di Sungai Santubong, Kuching semalam. |
KUCHING – Kejadian serangan buaya di Sarawak berterusan apabila seorang lagi mangsa hampir dibaham reptilia ganas tersebut di Sungai Santubong, Pending Industrial Estate di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 8 pagi itu, seorang buruh binaan warga Indonesia yang dikenali sebagai Paie, 32, terpaksa bergelut selama satu minit dengan seekor buaya dipercayai daripada speses jejulong sebelum berjaya melepaskan diri.
Lebih malang, lelaki yang berasal dari Kepulauan Jawa itu dikatakan sedang mencangkung di tebing sungai untuk membuang air besar, namun belum sempat melepaskan ’hajat’, punggungnya telah digigit buaya sepanjang kira-kira dua meter.
Paie yang ditemui di Hospital Umum Sarawak memberitahu, sebelum kejadian, dia berseorangan turun ke tebing sungai berhampiran rumah kongsi untuk membuang air besar.
“Saya baru mencangkung dan tiba-tiba terasa ada sesuatu menerkam punggung saya dari arah belakang dengan begitu kasar sekali.
“Selepas menyedari ia seekor buaya, saya berpaut pada sebatang besi dan cuba meronta-ronta bagi melepaskan diri,” katanya.
Akibat serangan reptilia berkenaan, Paie mengalami kecederaan dan luka di punggung kanan dan rusuk sebelah kiri.
BUAYA jenis jejulong yang menyerang Paie ketika sedang membuang air besar di Sungai Santubong, Kuching semalam. - Gambar hiasan |
Paie memberitahu, dia bernasib baik dapat berpaut pada batang besi di sebelahnya dan bertahan ketika cuba ditarik buaya ke dalam sungai.
Katanya, mungkin disebabkan rontaan dan pautan pada besi menyebabkan buaya tersebut mengalah dan melepaskan gigitan sebelum dia melompat ke daratan bagi menyelamatkan diri.
“Meskipun saya dapat menyelamatkan diri, luka akibat gigitan buaya menyebabkan saya tidak berdaya ekoran kehilangan banyak darah sebelum rebah.
sumber- Kosmo
No comments:
Post a Comment