Mayat mangsa yang maut ditempat kejadian ditutup sebelum dibawa ke hospital untuk bedah siasat. |
IPOH - “Saya tak sangka niat mereka untuk pergi bersendirian ke Bazar Ramadan Sauk petang semalam (kelmarin) tanpa ditemani ayah dan kakak jadi petanda. Itulah kali terakhir saya bertemu mereka.
“Adik pula tidak habis-habis bermanja dengan saya memeluk badan, membelai rambut dan mencium saya berkali-kali serta merebahkan diri ke betis seperti tidak mahu berpisah dengan saya pada waktu tengah hari sebelum kejadian tersebut.
“Abang pula berkelakuan aneh apabila tidur kira-kira sejam tengah hari dengan menutupi kesemua badannya dengan selimut saya sedangkan itu bukan tabiatnya,” kata Nor Madiah Rasidi, 45, ibu kepada dua adik beradik Muhamad Hizamuddin Ibrahim, 15 dan Mohd Izwan,
13, yang maut dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke Bazar Ramadan Sauk, Kuala Kangsar, petang kelmarin.
Anak keempat dan bongsu daripada lima adik beradik itu lazimnya pergi membeli juadah berbuka puasa dengan dua motosikal secara konvoi namun pada hari kejadian mereka meminta izin pergi sendiri.
“Mereka memang rapat sejak kecil namun tidak terlintas di fikiran saya dan suami (Ibrahim Musa, 54) sesuatu yang buruk akan terjadi walaupun mereka berkelakuan pelik sepanjang hari kejadian.
“Semasa Muhamad Hizamuddin mengambil motosikal, adiknya Mohd Izwan berkali-kali memberitahu saya yang dia sudah hendak pergi meskipun saya telah menjawabnya,” katanya.
Berita kemalangan itu disampaikan rakan anaknya kepada suaminya kira-kira jam 5.45 petang kelmarin.
“Kami amat sedih, mereka anak yang rajin membantu ayahnya. Apatah lagi umat Islam akan menyambut raya hanya beberapa hari sahaja lagi namun kami reda.
“Lebih menyedihkan baju yang ditempah mereka masih berada di kedai jahit,” katanya yang tinggal di Kampung Masjid Kuak, Lenggong.
Jenazah mereka dikebumikan jam 1 pagi semalam di Tanah Perkuburan Kampung Kuak, Lenggong.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Asisten Komisioner Abdul Ghaffar Muhammad berkata, dalam kejadian jam 5.15 petang itu, motosikal jenis Modenas Kriss yang ditunggang Muhamad Hizamuddin bersama Mohd Izwan dalam perjalanan dari Lenggong ke Pekan Sauk.
Motosikal itu dipercayai mengekori rapat di belakang sebuah pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux sebelum kenderaan itu berhenti di jambatan Sauk bagi memberi laluan lori lima tan dengan muatan kayu getah yang datang dari arah bertentangan.
“Akibatnya, motosikal tersebut melanggar pacuan empat roda itu sehingga menyebabkan penunggang dan pembonceng terjatuh ke laluan bertentangan dan dirempuh lori,” katanya.
Kedua-dua adik beradik itu maut serta merta di tempat kejadian manakala pemandu lori berusia 45 tahun tidak cedera.
Mayat mereka dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat.
sumber- Sinar
No comments:
Post a Comment