NADIA OTHMAN mempertaruhkan single perdana yang bertajuk Tragedi nukilan Sharon Paul dan lirik oleh dirinya |
BAKAT gadis berusia 18 tahun ini dihidu dan dikenal pasti oleh komposer Aidit Alfian sewaktu Nadia mengikuti sebuah pertandingan nyanyian di Johor Bahru, Johor.
Bertitik tolak daripada pertandingan tersebut, Nadia Amira Othman atau nama komersialnya Nadia Othman sering bertanya khabar dengan komposer tersebut di laman Facebook.
"Aidit Alfian beritahu saya, dia memang mencari artis untuk label Indah Karya. Saya juga waktu itu sedang cuba-cuba menyanyi dan akhirnya saya bernaung di bawah Indah Karya," ujar Nadia yang masih mengikuti pengajian di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.
"Single perdana saya bertajuk Tragedi adalah nukilan Sharon Paul manakala lirik adalah nukilan saya sendiri. Saya memang mahu menjadi penulis lirik. Bila Sharon gambarkan lagu tersebut sedih dan bercerita tentang gadis yang kematian tunang, saya gambarkan perasaannya dengan penggunaan secara metafora," kata anak kelahiran Johor itu.
Dia menegaskan bahawa ingin menjadi penyanyi yang juga penulis lirik. Lagu Tragedi adalah taruhan pertamanya dan selepas Tragedi, dia akan muncul dengan single nukilan Aidit Alfian pula.
"Saya suka bercerita dan menulis tentang banyak kisah. Salah satu caranya dengan mengekspresikan dengan penulisan, sebuah inspirasi," katanya.
"Lirik Tragedi tidak ada kena mengena dengan hidup saya. Saya cuma bayangkan kesedihan dan tulis tentang sebuah kehilangan. Mungkin selepas raya, lagu ini akan berkumandang di radio," ujar Nadia yang bercuti selama 10 hari sempena hari raya.
sumber- Kosmo
No comments:
Post a Comment