Pages - Menu

Saturday, August 11, 2012

Mimpi Dirang terus datang

Mimpi Dirang terus datang...
Selain kerap ke kubur, baju dan foto Dirang menjadi pengubat rindu Roselyn
PASIR GUDANG – “Mak, kalau nak jumpa saya, kena banyak sembahyang...” Demikian mimpi pertama Roselyn Alan, 25, selepas anak perempuannya, Nurul Nadirah Abdullah, 5, atau Dirang dibunuh dan dibakar Mac lalu.

Roselyn berkata, mimpi itu hadir ketika mereka sekeluarga pulang ke Sarawak untuk melupakan seketika kesedihan dan kepahitan yang dialami selepas terpaksa menerima hakikat kehilangan anak kesayangan dalam keadaan menyayat hati.

Menurutnya, bagaimanapun beberapa hari lalu, sekali lagi anak kesayangannya itu muncul dalam mimpinya bertanyakan mengenai barang mainannya.

“Dirang tanya saya: Mak.. mana mainan saya? Kenapa mak buang?

“Apabila tersedar daripada tidur, saya tertanya-tanya mainan apa milik Dirang yang saya buang.

“Saya tidak pernah membuang mainannya kecuali dua beg pakaiannya telah saya sedekahkan kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Flat Seri Delima Bandar Seri Alam, di sini, malam kelmarin.

Katanya, setiap minggu dia pasti ke pusara Allahyarham anaknya itu bersama ahli keluarga yang lain.

Menurutnya, abang Dirang, Mohd Hafis Abdullah, 6, sudah mengerti kehilangan Allahyarham yang pastinya tidak akan kembali lagi.

“Kalau boleh hari-hari nak ke kuburnya bagi lepas rindu walaupun hanya pada batu nisan,” katanya.

Dalam pada itu, Roselyn turut merayu agar bapa kandung Dirang, Handry Yongot, 30-an, yang masih ditahan di depoh Tahanan Pekan Nenas, Pontian dibebaskan.

Katanya, April lalu, dia bersama keluarga membeli tiket kapal terbang ke Filipina dan barangan kelengkapan termasuk mata wang negara itu selepas dimaklumkan pihak Imigresen, Handry akan dihantar ke sana.

“Bagaimanapun saya kecewa, selepas tiket kapal terbang dibeli, pihak Imigresen beritahu urusan dengan kedutaan Filipina masih belum selesai.

“Saya minta dia dibebaskan. Lagipun dia masih ada anak di sini. Di sana dia tak ada keluarga, macam mana dia nak hidup di negara orang dalam keadaan tidak tahu berbahasa Filipina,” katanya yang selalu melawat Handry di Pekan Nenas.

“Kami bingung dengan status dia sekarang kerana sudah terlalu lama dia ditahan,” katanya.

Sementara itu, menurut sumber Jabatan Imigresen negeri ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan Handry masih ditahan di depoh tahanan dan menunggu maklum balas serta pengesahan status warganegaranya daripada Kedutaan Filipina.

Mac lalu, Handry ditahan reman berikutan kehilangan Dirang, bagi membantu siasatan polis. Tetapi akhirnya polis membebaskannya kerana tiada bukti kukuh yang dapat mengaitkannya dalam kes bunuh itu.

Namun, setelah dibebaskan, Handry dilaporkan akan dibawa pulang ke negara asalnya iaitu Filipina kerana tidak mempunyai dokumen sah untuk terus tinggal di negara ini.

Sehingga kini, tiada tarikh tepat  bilakah Handry akan dihantar pulang ke Filipina.

Misteri kehilangan Dirang dari kediamannya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam pada 1 Mac lalu terjawab apabila polis mengesahkan dia mati dibunuh. Mayat Dirang yang rentung ditemui berhampiran kediaman berkenaan pada 8 Mac.

Rangka manusia yang awalnya disangka dewasa dibakar hingga rentung itu ditemui di dalam sebuah lubang oleh orang awam sebelum memaklumkannya kepada polis.

sumber- Sinar

No comments:

Post a Comment