Hidup menjadi sungguh rumit selepas buku, filem Harry Potter diterbitkan |
PERSAMAANNYA memang ada - kesan parut pada dahi.
Tetapi perkara paling jelas yang mereka kongsi ialah 11 huruf yang membentuk dua nama pendek - Harry Potter.
Dan Harry Potter sebenar boleh mengesahkan, kehidupannya menjadi haru-biru kerana berkongsi nama dengan watak dalam filem sihir.
Potter sebenar berdepan dengan pelbagai masalah termasuk daripada orang awam, polis, syarikat telefon hingga kepada pengadil bola sepak hanya kerana dia berkongsi nama dengan tukang sihir terkenal seluruh dunia.
Potter yang lahir pada 1989 menjalani hidup normal seperti kanak-kanak lain selama lapan tahun. Tetapi hidupnya berubah selepas buku pertama JK Rowling, Harry Potter And The Philosopher's Stone diterbitkan.
Ia menjadi lebih buruk apabila filem pertama ditayangkan.
Namanya menyebabkan dia menjadi bahan lawak manakala dalam urusan rasmi, termasuk dengan polis dan syarikat telefon, dia ditempelak kerana disangka cuba berjenaka.
Ibunya, Tracey Shaw, 47, tidak pernah menyangka nama yang dipilih untuk anak pertamanya itu akan menjadi fenomena di seluruh dunia.
"Orang ramai menyangka namanya diambil bersempena Putera Harry. Dan itulah gelarannya ketika masih kanak-kanak. Kami memanggilnya Putera Harry," kata Tracey.
Menurut Potter hidupnya berubah selepas buku Rowling diterbitkan.
"Alangkah bagus jika dia tidak menggunakan nama saya. Pada mulanya saya sangka ia baik tapi kini saya rasa seperti 'disihir' dan saya sentiasa dijadikan bahan jenaka atau ditempelak setiap kali berurusan dengan pihak lain.
"Ramai yang terlupa saya menjadi Harry Potter sebelum buku Rowling. Saya berusia sembilan tahun sebelum buku pertamanya diterbitkan," katanya.
Ibunya turut membeli buku pertama itu tapi mereka tidak menjangka apa yang akan berlaku selepas itu.
"Setiap kali bermain di sekolah, guru-guru akan mempersenda nama saya dan ia menyebabkan saya menjadi pendiam. Selepas 12 tahun, saya kini tidak lagi boleh mengira berapa banyak saya dipersendakan dan ada kalanya saya hilang sabar," kata Potter.
Hakikatnya, Potter adalah pemuda biasa yang bekerja di Bank Lloyds TSB. Ketika mengisi borang untuk memohon pekerjaan itu, tiada siapa percaya dia menulis nama sebenarnya.
"Pada masa ini, saya satu-satunya pekerja yang tidak perlu menyebut nama ketika menjawab panggilan telefon. Jika saya memperkenalkan diri, ia pasti akan menjadi bahan jenaka."
Jika Daniel Radcliffe yang memegang watak Harry Potter dalam filem sihir itu dan berusia 20 tahun seperti Potter sebenar, menjalani kehidupan mewah, Potter sebenar berkata, dia cukup gembira jika dapat membeli rumah bersama buah hatinya, Philippa Hall, 18.
Mengimbau kembali detik kali pertama berkenalan dengan Philippa, Potter berkata, dia terpaksa menunjukkan pasportnya untuk mengesahkan namanya.
"Saya menunjukkan pasport, lesen dan kad bank untuk meyakinkannya. Malah saya juga terpaksa berdepan situasi sama apabila ingin melakukan pelbagai perkara, termasuk membeli tiket semusim kelab bola sepak Portsmouth FC .
"Saya minat bola sepak tapi saya berdepan masalah di pejabat tiket. Mereka pada mulanya tak percaya Harry Potter adalah nama saya tapi bila berjaya meyakinkan mereka, ia menjadi bahan jenaka pula. Masalah itu tidak pernah berakhir.
"Saya juga bermain bola sepak untuk liga tempatan dan apabila menang, media tempatan pasti akan mendakwa saya menyihir pihak lawan," katanya lagi.
Meskipun tujuh buku buku Harry Potter dan filem mengaut keuntungan STG15 bilion (RM84.6 bilion), bagi Potter, dia hanya inginkan hidup normal.
"Saya hanya mahu masyarakat percaya itulah nama saya," katanya.
sumber- HMetro
No comments:
Post a Comment