Pekerja Majlis Perbandaran Seremban (MPS) menjalankan kerja pemersihan dahan pokok yang tumbang di parkir Taman Tasik Seremban di sini hari ini. Foto Bernama |
SEREMBAN - Sebatang pokok tembusu besar tumbang dan menghempap sembilan buah kereta di kawasan parkir Taman Tasek Seremban berhampiran pejabat Jabatan Pelajaran negeri di sini hari ini.
Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan ketika kejadian itu berlaku kira-kira 3.30 petang.
Lima daripada kereta terbabit milik pegawai Jabatan Pelajaran negeri, tiga daripadanya rosak teruk dengan bumbungnya remuk akibat dihempap pokok tersebut.
Seorang pemilik kereta yang remuk itu, Hamidah Che Ros, 47, yang bertugas di Jabatan Pelajaran negeri, berkata beliau menyedari kejadian itu ketika pihak jabatan mengumumkan kejadian itu melalui pembesar suara.
"Saya kemudian berlari turun dan mendapati kereta Nissan Sentra saya remuk dihempap pokok. Saya dah pakai kereta ini empat tahun dan merasa sedih dengan kejadian ini," katanya di tempat kejadian.
Seorang rakan Hamidah, Mustafa Abd Majid, 46, pula berkata biasanya beliau meletakkan keretanya Kia Sportage di dalam kawasan pejabat tetapi hari ini beliau meletak kereta itu di kawasan parkir Taman Tasek Seremban.
"Memang nasib tidak baik dan saya anggap kejadian ini sudah takdir dan saya menerimanya saja," katanya.
sumber- Sinar
No comments:
Post a Comment