BANTU IBU...Putri Nursakirah (kiri) melayan pelanggan memilih bunga di gerainya. |
JOHOR BAHRU: Ketika rakan sebaya teruja menyambut ketibaan Aidilfitri, dua beradik dari Kempas, di sini, rela mengetepikan keinginan bersuka ria demi membantu ibu bapa mencari rezeki.
Putri Nursakirah Mohd Safari, 15, dan Mohd Safizan, 12, berkata, sejak kecil hingga sekarang mereka mengikut ibu bapa berniaga bunga hidup untuk dijadikan hiasan di pusara.
Putri Nursakirah berkata, dia diajar berniaga sejak berusia lapan tahun, justeru ia menjadi rutin tahunannya.
“Saya bukannya tidak teringin menyambut Aidilfitri seperti rakan lain, tetapi sedar kami bukannya orang senang, jadi saya lebih rela membantu ibu bapa berniaga pada hari raya di tanah perkuburan Islam di sini bagi menambah pendapatan keluarga.
“Setiap tahun, saya tidak pernah ambil kisah pakaian raya mahu pun sambutan hari raya.
“Apa yang ada saya pakai, kerana bagi saya paling penting ialah menunaikan tanggungjawab membantu ibu menjual bunga di mana-mana tanah perkuburan di Johor Bahru,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah, di sini, semalam.
Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, pada pagi 1 Syawal, mereka bangun seawal jam 4 pagi bagi membantu ibu berniaga sehingga Aidilfitri ketujuh, kerana ketika itu masyarakat meluangkan masa menziarah pusara keluarga dan sanak saudara.
“Biasanya permintaan bunga masih banyak sehingga hari raya ketujuh dan kami boleh mengaut keuntungan hampir RM100 sehari,” katanya.
Mohd Safizan berkata, selain menjual bunga, dia dan ibu bapa turut menambah pendapatan keluarga membersihkan pusara terbiar dengan upah RM10 bagi sebuah pusara.
“Saya tidak pernah malu melakukan tugas mulia itu,” katanya.
Saya berbangga kerana bukan saja dapat membantu orang tua, malah pada masa sama menerima upah hasil usaha dilakukan,” katanya.
sumber- HMetro
No comments:
Post a Comment