KAPAR: Tiga lelaki ditemui mati dipercayai akibat keracunan minuman keras yang mereka minum dalam kejadian di Rantau Panjang, di sini, awal pagi kelmarin.
Sebelum ditemui mati, mangsa, M Yogarajah, 32, G Vijayakumar, 31, dan G Suman, 30, dikatakan sempat berbual-bual sambil menikmati minuman berkenaan di depan rumah Suman, kira-kira jam 10 malam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong berkata, akibat terlalu mabuk kerana mencampurkan tiga minuman keras, seorang daripada ahli keluarga mangsa terpaksa membawa mereka bertiga masuk ke dalam rumah kerana bimbang keadaan menjadi tidak terkawal.
Menurutnya, kira-kira jam 6 pagi, adik mangsa cuba mengejutkan mereka bertiga, tetapi tidak mendapat sebarang tindak balas menyebabkan keluarga mangsa yang bimbang terus menghubungi ambulans.
Katanya, semua mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, untuk rawatan kecemasan, tetapi gagal diselamatkan sebelum disahkan meninggal dunia.
Difahamkan, seorang lagi rakan mangsa turut berada bersama mereka di tempat kejadian, namun sempat diselamatkan. “Tiada sebarang unsur jenayah yang menyebabkan kematian ketiga-tiga mangsa setakat ini,” katanya. Mohamad Shukor berkata, pihaknya masih menunggu laporan lengkap daripada HTAR dan setakat ini, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
sumber- HMetro
No comments:
Post a Comment