Beginilah keadaan Nur Amira Umairah yang disahkan buta pada mata sebelah kirinya. |
PENDANG – Ibu bapa mana yang sanggup melihat anak menderita menghidap pelbagai penyakit, apatah lagi jika anak itu masih kecil.
Kesedihan itu dirasakan sepasang suami isteri di Kampung Sungai Baru Mukim Air Puteh dekat sini, apabila anak sulung mereka Nur Amira Umairah Mohd Akbal berusia 10 bulan telah disahkan buta pada mata kiri manakala mata kanan mengalami rabun tahap serius selepas menghidap penyakit glaucoma apabila kedua matanya terbonjol sejak dilahirkan.
Nur Amira Umairah dikenal pasti menghidap penyakit itu sejak lahir pada 24 November 2011 di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar apabila matanya terbonjol dan semakin membengkak.
Mohd Akbal Baharuddin, 23, dan isteri, Zainon Mohd Tajuddin, 20, memaklumkan berikutan penyakit anaknya itu mereka kini buntu untuk menjelaskan bayaran wad dan cermin mata anak yang masih tertunggak selain kos pengangkutan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) setiap kali mendapatkan rawatan.
Mohd Akbal berkata, setiap bulan dia perlu membawa anaknya itu ke HSB dua kali dan ke HKL sebanyak tiga kali.
“Pendapatan saya sebagai pembantu kedai runcit hanya RM20 sehari, itu pun bukan hari-hari saya bekerja. Nak bawa anak ke hospital lagi.
"Zaman sekarang gaji sebanyak itu mana cukup, nak makan hari-hari pun susah, apatah lagi nak tanggung kos rawatan yang terlalu tinggi.
“Saya ada terima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Pendang sebanyak RM300 sebulan.
"Ia juga tidak cukup kerana kos pengangkutan ke HKL saja dah cecah RM1,000 sebulan sehingga saya terpaksa juga berhutang untuk membeli lampin pakai buang untuk anak,” katanya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan derita yang dialami Nur Amira Umairah ketika dia baru berusia empat bulan berkaitan penyakit yang dihadapinya itu pada peringkat permulaan.
Kepada mana-mana pihak yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi keluarga terbabit di talian 013-4756126 atau menyumbang melalui akaun Maybank di nombor 152125198708.
sumber- Sinar
No comments:
Post a Comment