Pages - Menu

Friday, September 7, 2012

Gempar Beruang Di Kuantan

beruang sarkas
Rosli menunjukkan kawasan belukar yang didakwa lokasi kehadiran beruang di kawasan perumahan itu.
KUANTAN - Penduduk di Perumahan Pandan Damai 2, di sini, dihantui kebimbangan ekoran ada penduduk mendakwa ternampak beruang berkeliaran di kawasan perumahan terbabit, dua hari lalu.

Walaupun tidak pasti kesahihan perkara itu, penduduk di situ turut bimbang mengenai keselamatan mereka terutama kanak-kanak yang sering bermain di kawasan luar rumah.

Bagi Rosli Kamaruzzaman, 46, dia dimaklumkan perkara itu rakannya mengenai kemunculan beruang di belukar berdekatan perumahan mereka.

Menurutnya, sebelum ini babi hutan dan monyet sering kelihatan namun apabila diberitahu terdapat beruang di situ, sedikit sebanyak ia sesuatu yang mengejutkan.

“Jika benar, ia adalah kejadian pertama sejak saya tinggal di sini lapan tahun lalu.

“Sebagai bendahari surau perumahan ini, saya juga sudah memaklumkan penduduk melalui sistem pesanan ringkas (sms) surau supaya berjaga-jaga dan mengawal anak-anak yang bermain di luar rumah,” katanya ketika ditemui di sini.

Rosli berkata, kawasan belukar di depan rumahnya itu tidak luas dan hairan bagaimana beruang boleh muncul.

Namun katanya, keadaan itu tidak mustahil memandangkan pembangunan yang berlaku di kawasan berdekatan memungkinkan beruang itu sesat atau hilang habitat.

“Jadi penduduk di sini berharap agar pemantauan lanjut dijalankan pihak bertanggungjawab supaya memperoleh kesahihan mengenai kehadiran beruang di kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Khairiah Mohd Shariff berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk di situ yang mendakwa terlihat beruang berkeliaran di kawasan perumahan berkenaan.

Katanya, bertindak atas aduan itu, anggotanya ke lokasi untuk melihat keadaan sebenar.

“Hasil pemeriksaan yang dibuat, tiada kesan tapak kaki atau yang berkaitan dijumpai malah habitat yang dikata menjadi tempat beruang itu dilihat juga bukan habitat asal haiwan terbabit kerana ia hanya belukar kecil.

“Bagaimana pun, kita mohon penduduk supaya tidak bertindak sendiri sekiranya kejadian itu berulang dan diminta menghubungi pihak kami segera di talian careline 1-300-80-1010,” katanya.

sumber- Sinar

No comments:

Post a Comment