gambar hiasan |
SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini hari ini meminda hukuman penjara yang dijatuhkan terhadap dua beradik perempuan atas kesalahan mencederakan dan melakukan kekerasan jenayah seksual terhadap amah warga Indonesia daripada dua tahun kepada lima tahun dan lapan bulan.
Hakim Noor Azian Shaari membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Wong Choy Lin, 40, dan adiknya, Wong Choy Kin, 38, terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 13 Okt tahun lepas.
Mahkamah Majistret Petaling Jaya memerintahkan dua wanita itu menjalani hukuman penjara dua tahun bagi kesalahan melakukan kekerasan seksual serta lapan bulan bagi kesalahan mencederakan dan kedua-dua hukuman diarahkan berjalan secara serentak.
Hakim Noor Azian bagaimanapun menambah hukuman penjara ke atas mereka bagi kesalahan melakukan kekerasan seksual iaitu kepada lima tahun dan mengekalkan hukuman penjara lapan bulan bagi kesalahan mencederakan tetapi memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan secara berasingan.
Beliau menetapkan esok untuk mendengar permohonan bagi penangguhan pelaksanaan hukuman.
Choy Lin dan Choy Kin diwakili peguam K. Theivaendran sementara Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Asyraf Md Kamal hadir bagi pihak responden.
Mengikut pertuduhan, dua beradik itu didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Hanif, 25, dari Surabaya antara November 2003 dan September 2004.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, Choy Lin dan Choy Kin didakwa melakukan kekerasan jenayah seksual sebanyak dua kali dengan memasukkan objek seperti biskut, pisang, dan hujung botol air minuman ke dalam alat sulit mangsa pada September dan Julai 2004.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.
Kesemua perbuatan didakwa dilakukan di rumah mereka di Jalan BS 5/17A, Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan dekat sini.
Seramai lapan saksi pendakwaan dan lima saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.
sumber- Bernama
No comments:
Post a Comment