Proton Saga dipandu Rama yang terbabas ketika melalui persimpangan maut di Kampung Paya Lebar - Ayer Molek - Lubok Cina, malam kelmarin. |
ALOR GAJAH - Persimpangan laluan maut Kampung Paya Lebar - Ayer Molek, di sini menyaksikan satu lagi kemalangan membabitkan sebuah kereta yang dinaiki seorang lelaki, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira 11 malam itu, mangsa, Rama, 28, dari Rumah Rakyat Lubok China, dekat sini, nyaris maut apabila kereta jenis Proton Saga dipandunya hilang kawalan dan terbabas di persimpangan berkenaan.
Dia yang memandu sendirian ke tempat kerjanya di sebuah ladang sawit di Kuala Linggi bagaimanapun hanya cedera di badan dan dikatakan sering melalui jalan berkenaan sebelum ini.
Difahamkan, persimpangan berkenaan boleh dianggap sebagai laluan maut oleh penduduk sekitar berikutan sebelum ini pernah berlaku insiden sama sehingga meragut nyawa.
Sementara itu, Exco Kerja Raya dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Abd Karim Sulaiman berkata, persimpangan berkenaan merupakan laluan utama penduduk ke Lubok China - Kuala Sungai Baru - Masjid Tanah.
"Ketiadaan kemudahan lampu isyarat di persimpangan berkenaan dipercayai menjadi sebab beberapa kemalangan sering berlaku termasuk penunggang motosikal.
“Saya anggap simpang tiga Kampung Paya Lebar - Ayer Molek ini sebagai persimpangan maut dan tidak selamat kepada pengguna jalanraya yang terdedah kepada kemalangan bila-bila masa,” katanya. Lebih membimbangkan, katanya, laluan ergelap juga membuka peluang kepada penjenayah melakukan aktiviti jenayah mereka di kawasan itu pada waktu malam.
“Saya berharap Majlis perbandaranAlor Gajah (MPAG) dapat selesaikan masalah ini dengan segera," katanya.
sumber- Sinar
No comments:
Post a Comment