Macha (kiri) ditemani Josephin di pekarangan Jabatan Forensik dan Bilik Mayat Hospital Melaka. Gambar kecil: Raman |
ALOR GAJAH - Selepas kurang 48 jam bertahan, seorang lelaki maut selepas dipercayai terminum racun serangga ketika berada dalam keadaan di bawah pengaruh alkohol di rumahnya di Rembia, dekat sini kira-kira jam 5 pagi semalam.
Difahamkan, kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari Ahad lalu itu, mangsa, C K Raman, 42, baru pulang ke rumah dalam keadaan separuh sedar dan terhuyung-hayang sebelum meneguk racun serangga dalam sebuah bekas.
Isteri mangsa, N Macha, 38, berkata, ketika kejadian dia sedang memasak dan menyedari kepulangan mangsa.
"Saya sedar kepulangan suami yang berada di bawah pengaruh alkohol dan membiarkan sahaja sehingga dia sedar semula.
"Namun saya tidak menyangka suami mencapai bekas berisi racun serangga yang memang disimpan di rumah," katanya.
Menurutnya, dia tidak menyedari mangsa sudah keluar semula dari rumah dan terkejut apabila jiran, Josephin, 30, menjerit memanggilnya serta memaklumkan mangsa akan dihantar ke hospital selepas mengadu loya dan hendak muntah.
“Melihat keadaan suami yang lemah, jiran menghantarnya ke Hospital Alor Gajah sebelum dirujuk ke Hospital Melaka namun sehari kemudian saya dimaklumkan suami dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) berikutan kondisinya yang kritikal," katanya.
Macha berkata, sejak dua minggu lepas suaminya itu yang bekerja di sebuah kilang di kawasan perindustrian ada menunjukkan perubahan sikap apabila sering memintanya membuatkan air susu sahaja selepas mengadu perutnya rasa tidak selesa.
Sementara Josephin, 30, berkata, dia yang berada di luar rumah menyedari keadaan mangsa yang terhuyung-hayang dan kelihatan lemah sambil berjalan di luar rumah sebelum mangsa mengadu tekaknya berasa loya.
"Saya kemudiannya bergegas memanggil suami di dalam rumah dan membantu memapah mangsa masuk ke dalam kereta sebelum dihantar ke Hospital Alor Gajah," katanya.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan berhubung laporan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
sumber- Sinar
No comments:
Post a Comment