Pages - Menu

Thursday, September 27, 2012

Motosikal dirempuh babi hutan

mangsa babi hutan
Nur Arizah melihat keadaan Firas di rumah mereka di Kampung Sungai Buntu.
PONTIAN – Seorang murid tadika patah bahu dan lengan kanan serta terpaksa menerima tiga jahitan di kepala apabila motosikal dinaiki bersama bapanya dirempuh seekor babi hutan yang tiba-tiba melintas di Kampung Sungai Buntu, Penerok, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 pagi itu, Mohd Fakhrurazi Tukiman, 33, dalam perjalanan menghantar anaknya, Firas Nor Hanisya Aini, 4 ke sekolah tadika.

Dia yang bertugas sebagai penyelia di Kolej Matrikulasi Teknikal Johor (KMTJ) berkata, ketika sedang melalui jalan itu, tiba-tiba seekor babi hutan keluar dari kawasan semak dan parit di bahu jalan yang kemudiannya merempuh motosikal yang ditunggangnya.

“Seekor babi hutan sebesar anak lembu yang secara tiba-tiba keluar dari kawasan semak merempuh tepi motosikal menyebabkan saya dan anak jatuh tersembam di atas jalan raya.

“Saya terus bangun menarik Firas, meskipun kaki saya ketika itu terasa sakit akibat dihempap motosikal,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Buntu, di sini, semalam.

Mohd Fakhrurazi berkata, dia segera ke Pusat Kesihatan Penerok yang terletak tidak jauh dari tempat kejadian untuk mendapatkan rawatan.

“Mujur ketika itu motosikal saya masih boleh bergerak, dan saya segera bawa anak untuk mendapatkan rawatan.

“Selepas imbasan x-ray dilakukan, saya diberitahu lengan dan bahu anak saya patah serta dia perlu menerima tiga jahitan di bahagian kepala,” katanya yang turut mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan dan terseliuh di kaki.

Katanya, anaknya itu juga perlu menjalani rawatan susulan bersama doktor pakar Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Terkejut suami, anak kemalangan

Bagi isterinya, Nur Arizah Yahya, 34, dia tidak sangka kejadian malang itu menimpa suami dan anaknya memandangkan mereka sudah biasa melalui jalan itu untuk ke sekolah dan tempat kerja.

“Saya terkejut apabila diberitahu suami melalui telefon kira-kira jam 7.50 pagi, dia dan anak terlibat kemalangan akibat dirempuh babi hutan dan meminta saya ke pusat kesihatan,” katanya yang bekerja sebagai Pembantu Pra Sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Serkat.

Katanya, tindakan segera perlu diambil bagi mengelakkan kejadian sama berlaku pada masa hadapan.

Masalah babi hutan di sini bukan sesuatu yang baru, malah ramai penduduk kampung yang telah terserempak dan dilanggar babi hutan,” katanya.

Penduduk bimbang diancam babi hutan

Ancaman babi hutan di Kampung Sungai Buntu, Penerok bukan sesuatu yang baru, malah telah banyak kejadian melibatkan kemalangan dengan haiwan tersebut dilaporkan berlaku di situ sebelum ini.

Bagi salah seorang penduduk yang ditemui, Zainal Amil, 47, berkata, masalah babi hutan di kampungnya itu amat membimbangkan.

Katanya, dia pernah terserempak dengan sekumpulan babi hutan sedang melintas di jalan kampung.

Dia berkata, babi hutan itu datang dari arah Kukup Golf kerana kawasan di situ semak dan perkara ini telah diadukan oleh penduduk kepada pihak pengurusan Kukup Golf, tetapi hingga kini tiada tindakan diambil untuk membersihkan kawasan tersebut.

“Sebelum ini kawasan di situ bersih dan terang tetapi sejak dua tahun kebelakangan ini, ia menjadi semak.

“Pokok pisang dan pokok ubi yang ditanam penduduk kampung habis musnah dirosakkan babi hutan.

“Kanak-kanak juga dilarang bermain di luar rumah pada waktu petang kerana khuatir akan terserempak dengan babi hutan yang boleh mengancam nyawa mereka,” katanya.

Pelbagai cara diguna tidak berkesan

Bagi Mohd Zaki Husain, 34, pelbagai cara telah digunakan untuk menghalau haiwan berkenaan, namun ia masih tidak berkesan.

“Sebelum ini penduduk ada menggunakan jaring yang dipasang di kawasan parit, namun ia masih tidak berjaya menghalang babi hutan dari memasuki kawasan kampung,” katanya.

Sementara itu, Ketua Umno Cawangan Sungai Buntu, Mohd Rahim Minal berkata, kehadiran babi hutan di situ memang sudah lama.

Katanya, sejak kawasan Kukup Golf berhampiran kampung berkenaan menjadi semak, babi hutan pun semakin banyak yang berkeliaran.

“Banyak kemalangan jalan raya dilaporkan berlaku sehingga ada yang cedera dan patah kaki, namun masih belum ada yang mengorbankan nyawa,” katanya.

Justeru katanya, diharapkan masalah babi hutan ini dapat diatasi segera oleh pihak-pihak yang berkaitan sebelum kejadian lebih teruk berlaku.

sumber- Sinar

No comments:

Post a Comment