Muhammad Alias (gambar kecil) meninggal dunia tertusuk buluh penyidai dipercayai jatuh dari tingkat 12 PPR Taman Kempas Permai, Johor Bahru. - Foto Nur Aisyah Mazalan |
Johor Bahru: "Saya melihat buluh tertusuk di kepala sebelum mangsa terpelanting dan menggelupur," kata saksi yang melihat budak berusia empat tahun tertusuk buluh dalam kejadian di sini, Ahad lalu.
Dalam kejadian jam 10.30 malam di Projek Perumahan Rakyat Taman Kempas Permai, Blok Sri Tanjung di sini, buluh menembusi tempurung kepala Muhammad Alias Che Samad sedalam enam sentimeter dan mangsa disahkan meninggal dunia jam 11 pagi semalam. Buluh jatuh dari tingkat 12
Setakat ini belum dapat dipastikan, sama ada buluh sepanjang 1.8 meter itu yang digunakan sebagai penyidai pakaian itu, dibaling atau terjatuh dari tingkat 12 atas perumahan terbabit.
Namun, sebelum ini penduduk mendakwa pelbagai objek termasuk sofa lama dan plastik berisi sampah sering sengaja dibuang dari tingkat atas flat terbabit.
Saksi, Muhammad Firdaus Razali, 18, berkata beliau berada di depan Alias untuk meletak motosikalnya sebelum melihat buluh terjatuh dan mengenai kepala mangsa.
“Bapanya membantu dengan menekap kain di kepalanya sebelum rakan saya, Suhaimi Daud membantu menghantar ke hospital dengan bapanya membonceng sambil memangku budak itu,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Firdaus berkata, beliau bernasib baik kerana berada di depan kanak-kanak itu untuk memberi laluan sebelum meletakkan motosikal kerana jika awal beberapa saat saja sudah pasti beliau juga turut menjadi mangsa.
Sementara itu bapa mangsa, Che Samad Che Omar, 51, berkata anaknya menjalani pembedahan selama kira-kira tujuh jam mulai jam 1 pagi Isnin lalu.
Otak hancur
“Doktor memaklumkan otak anak saya hancur kerana tertusuk buluh. Doktor kata otak anak saya mati dan dia koma dengan hanya bergantung kepada mesin,” katanya.
Che Sama d berkata, kejadian berlaku ketika beliau bersama Alias berjalan di tempat letak motosikal flat berkenaan apabila secara tiba-tiba buluh yang digunakan untuk menyidai pakaian jatuh terkena kepala anaknya.
Jenazah anak bongsu dari empat beradik itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Damansara Aliff, dekat sini.
Sementara itu Ketua Polis Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan ketika dihubungi mengesahkan pihaknya sudah menerima laporan kejadian itu.
sumber- BH
gila ngeri baca berita nih...-.-'
ReplyDeletetu yang risau duduk rumah tggi cmni..
Delete