Ismail menunjukkan ayam berkaki empat yang disedarinya ketika mahu menyembelih haiwan tersebut di gerai ayam proses milik anaknya. |
BANIR BELIKONG, PASIR PUTEH – Warga emas yang terkejut mendapati salah seekor ayam yang dibeli anaknya mempunyai empat kaki, membatalkan hasrat menyembelih haiwan tersebut.
Ismail Awang Teh, 70, berkata, dia menyedarinya ketika mahu menyembelih ayam tersebut di gerai ayam proses milik anaknya, Adnan Yusof, 44, jam 7.30 pagi kelmarin.
Katanya, ayam istimewa itu berbeza dengan ayam lain kerana tidak banyak bergerak ketika hendak disembelih.
“Saya akan memelihara ayam ini kerana inilah kali pertama saya menemui ayam berkaki empat, dua kaki normal dan dua lagi berada di bahagian punggung.
“Walaupun kaki di belakang seperti tidak mempunyai fungsi tetapi ia lengkap,” katanya.
Sementara itu, Adnan ketika ditemui berkata, itulah kali pertama dia menemui ayam berkaki empat sejak berniaga ayam proses enam tahun lalu.
“Bagus juga ayah saya tidak menyembelihnya kerana bukan senang memiliki ayam seperti itu,” katanya.
Ayam itu katanya, dihantar pemborong awal pagi kelmarin bersama ayam lain untuk diproses dan dijual kepada penduduk sekitar.
sumber- Sinar
No comments:
Post a Comment