Lelaki warganegara Afrika cedera parah setelah terjatuh dari tingkat tiga salah sebuah blok bangunan Apartment Sri Jasmin, Mantin. - Foto Bernama |
NILAI - Seorang lelaki warganegara Afrika cedera parah setelah terjatuh dari tingkat tiga salah sebuah blok bangunan apartment Sri Jasmin, Mantin dekat sini ketika cuba melarikan diri dalam satu operasi Jabatan Imigresen Negeri Sembilan tengah hari tadi.
Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sembilan Faizal Fazri Othman berkata ketika serbuan dibuat pada kira-kira 12 tengah hari, dia cuba melarikan diri tetapi kakinya tersangkut dan jatuh ke tanah.
"Lelaki itu yang berumur 30-an mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban oleh sebuah ambulans dari Klinik Kesihatan Mantin.
Keadaannya bagaimanapun dilaporkan stabil," katanya kepada pemberita di sini.
Operasi empat jam bermula 11 pagi itu membabitkan 52 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Negeri Sembilan.
Pegawai Jabatan Imigresen sedang menahan sebahagian dari warganegara Afrika dalam satu operasi Jabatan Imigresen Negeri Sembilan di Apartment Sri Jasmin, Mantin. - Foto Bernama |
Katanya 52 lelaki dan tujuh wanita membabitkan warganegara Afrika pelbagai negara kecuali seorang wanita warga Thailand ditahan dalam operasi itu.
Katanya kesemua mereka yang ditahan berumur antara 20 dan 40 tahun dan kebanyakannya tidak memiliki dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa serta menyalah guna pas lawatan sosial mereka.
Kesemua mereka dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Lenggeng untuk tindakan lanjut.
"Ops 6P itu bertujuan mengesan pelajar warga Afrika yang didapati tidak menghadiri kelas. Kita tahan mereka untuk siasatan lanjut kerana kita hendak tahu sama ada pihak kolej akan membuat tuntutan atau pun tidak.
"Hasil tangkapan kita temui ramai warga Afrika yang mempunyai pas pelajar dan mereka ini didapati belajar di kolej dan pusat pengajian di luar negeri ini," katanya.
sumber- Bernama
No comments:
Post a Comment