Pages - Menu

Monday, October 15, 2012

20 bilik sewa berselerak alat hisap dadah

KUALA LUMPUR: Lebih 20 bilik sewa di Jalan Chow Kit, di sini, berselerak dengan peralatan menghisap syabu ketika serbuan polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi, bermula jam 12 tengah malam kelmarin hingga 3 pagi semalam.

Dalam operasi itu, polis menahan 15 lelaki termasuk lima yang memiliki dadah, tujuh ditahan mengikut Akta Imigresen dan tiga lagi dikehendaki polis kerana terbabit kes jenayah sejak dua tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, operasi itu untuk menghapuskan gejala sosial dan penagihan dadah di kawasan terbabit.

“Hasil pemeriksaan, kami mendapati hampir keseluruhan penghuni bilik di Chow Kit terbabit aktiviti penagihan syabu, heroin dan ganja.

“Penagih terbabit melakukan pelbagai jenayah untuk mendapatkan wang bagi membeli bekalan,” katanya.

Menurutnya, kemungkinan banyak lagi kegiatan itu dilakukan penghuni di kawasan itu sekiranya pemeriksaan besar-besaran dilaksanakan. Lebih 100 individu diperiksa dan 15 daripadanya ditahan terhadap pelbagai kesalahan.

dapur syabu
gambar hiasan
Seramai 150 pegawai dan anggota polis yang dibantu Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) terbabit pemeriksaan itu di Jalan Bukit Bintang, Jalan Pudu, Dataran Merdeka, Jalan Imbi dan Jalan P Ramlee.

Pemeriksaan dan serbuan yang dijalankan merangkumi pelbagai kesalahan jenayah termasuk kes dadah, pelacuran, samun dan ragut, parkir haram, pusat hiburan lebih masa dan kesalahan lalu-lintas.

“Sejak operasi berkala setiap hujung minggu diadakan, kami mendapati indeks kes jenayah di daerah ini menurun,” katanya.

sumber- HMetro

No comments:

Post a Comment