JOHOR BAHRU: “Sejak berbulan lalu, saya mengulang kaji pelajaran dengan bantuan anak lelaki berusia 12 tahun dan baru selesai menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).
“Hari ini (semalam), saya rasa seram sejuk dan berdebar-debar ketika membuka kertas soalan. “Bagaimanapun, kerana ingin mencabar diri sendiri, semua itu diketepikan malah saya tabahkan hati untuk ke pusat peperiksaan.” Itu kata calon Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) yang hanya mahu dikenali sebagai Nordin, 50, ketika ditemui di pusat peperiksaan PMR di Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Utara di sini, semalam.
Nordin bersama seorang lagi rakan berusia 40-an mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi calon persendirian paling tua menduduki PMR.
Dia yang bekerja sebagai tukang kebun berkata, usia bukan penghalang untuknya menduduki PMR, sebaliknya perlu dijadikan contoh kepada golongan muda supaya tidak mensia-siakan peluang yang ada dengan belajar bersungguh-sungguh.
LEGA...Nordin meninggalkan dewan peperiksaan, semalam. |
“Saya menduduki PMR kerana mahu menebus kegagalan mendapat keputusan baik dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) 35 tahun lalu.
“Saya mendaftar untuk menduduki PMR pada Februari lalu dengan yuran RM85. Walaupun sibuk, saya meluangkan masa mengulangkaji pelajaran.
“Pada mulanya anak dan isteri menyangka saya hanya bergurau, tetapi mereka kemudian memberi semangat dan dorongan,” katanya.
Bermula semalam, Nordin bersama rakannya itu mula menguji keupayaan diri dengan menjawab kertas soalan mata pelajaran Bahasa Melayu Kertas 1 dan 2, diikuti Pendidikan Islam pada sebelah petang.
Selain dua mata pelajaran itu, secara keseluruhan, calon PMR akan menjawab enam lagi mata pelajaran iaitu Bahasa Inggeris, Geografi, Sejarah, Kemahiran Hidup, Sains serta Matematik.
“Memang gementar kerana persediaan dibuat hanya ala kadar, paling merisaukan saya mata pelajaran Matematik kerana ia memerlukan kecekapan untuk mengira.
“Agak kekok dan segan kerana kami dikelilingi ratusan murid yang jauh lebih muda. Bagaimanapun, saya berasa lega apabila terjumpa seorang lagi calon hampir sebaya,” katanya.
Bapa kepada lima anak itu turut berharap dia lulus semua mata pelajaran.
Selain Nordin dan rakannya itu, seramai 166 pelajar tingkatan tiga yang lain turut menduduki PMR di pusat peperiksaan sama. Sementara itu, seorang guru dikenali sebagai Yahya, 40, berkata, dia terharu apabila mendapati dua calon yang menduduki PMR ialah individu seusia dengannya.
sumber- HMetro
No comments:
Post a Comment