Pages - Menu

Saturday, October 6, 2012

Bekas kekasih mahu terbit memoir Steve Jobs

Chris Ann Brennan
Chris Ann Brennan
BEKAS kekasih pengasas Apple, Steve Jobs, Chris Ann Brennan akan menulis sebuah memoir mengenainya dan bakal diterbitkan tahun depan.

Menurut penerbit memoir yang masih belum diberikan judulnya itu, St Martin’s Press, mereka telah mendapatkan hak untuk menerbitkan memoir yang bakal ditulis oleh Brennan, yang kini merupakan seorang pelukis yang menetap di San Francisco Bay Area.

Brennan bertemu dengan Jobs di Sekolah Tinggi Homestead di Cupertino, California pada 1972 dan kemudiannya tinggal di kabin serta menghadiri kuliah bersama Jobs selepas menghabiskan zaman persekolahan.

“Semasa Jobs berumur 17 tahun, dia mempunyai bakat dalam penulisan puisi,” kata Brennan dalam sebuah artikel yang disiarkan majalah Rolling Stone selepas kematian Jobs Oktober tahun lalu.

Pada ketika umur Brennan mencecah awal 20-an, dia melahirkan anak mereka yang dikenali sebagai Lisa Brennan-Jobs.

Jobs pada mulanya menafikan Lisa adalah anaknya tetapi lama-kelamaan mendiang cuba membina hubungan yang lebih rapat dan baik dengan anak perempuannya itu.

Memoir yang bakal diterbitkan itu akan merangkumi pelbagai topik termasuk hubungan Brennan dengan Jobs, selain kesungguhan, keazaman dan kepayahan Jobs dalam mengemudi syarikat Apple sehingga ia menjadi antara
syarikat korporat yang paling disanjungi di seluruh dunia.

Semalam, genap setahun Jobs meninggal dunia, di rumahnya di California akibat komplikasi penyakit kanser pankreas yang dihidapinya sejak 2003 sehingga menyebabkan sistem pernafasannya terganggu.

sumber- Sinar

No comments:

Post a Comment