BEIJING - Satu kajian saintis mendapati, anak-anak panda yang ditangkap, dipelihara dan dipisahkan daripada ibu mereka untuk program pemuliharaan, hanya digunakan sebagai alat untuk mengaut keuntungan sebelum haiwan itu mati selepas dilepaskan semula ke hutan.
Kajian tersebut menunjukkan kerajaan China mengaut berjuta-juta pound dengan meminjamkan kepada zoo luar negara panda-panda yang ditangkap, termasuk kepada zoo di Edinburgh, Scotland dengan bayaran enam juta pound (RM30 juta) untuk tempoh pinjaman selama 10 tahun.
Sekumpulan anak panda yang ditangkap, dipelihara dan dipisahkan dengan ibu mereka untuk program pemulihan di wilayah Sichuan. - AGENSI |
Pengarah Pendidikan Pemuliharaan Pusat Kajian Pembiakan Panda Chengdu di China, Dr. Sarah Bexell berkata, panda-panda yang ditangkap dan dipelihara tidak ubah seperti watak karikatur dan tidak mampu menyesuaikan diri dalam hutan.
Menurut Bexell, sepanjang pengalamannya terbabit dalam program pemuliharaan panda di China, beliau mendapati haiwan tersebut berdepan masalah kepupusan yang kritikal dan aktiviti penangkapan anak panda untuk dipelihara boleh mendatangkan situasi trauma kepada haiwan itu, sekali gus meletakkan masa depan spesies berkenaan dalam bahaya.
Kajian Bexell itu didedahkan dalam buku Giant Pandas: Born Survivors yang menceritakan kegagalan program pemuliharaan habitat panda.
Malah tiada seekor panda pun yang hidup selepas menjalani program tersebut yang diusahakan sejak 1963, walaupun lebih 300 ekor panda dipelihara dan diajar untuk menyesuaikan diri dalam habitat semula jadi.
Buku tersebut dihasilkan dengan bantuan Pengarah Pusat Pusat Kajian Pembiakan Panda Chengdu, Dr. Zhang Zhihe yang menyediakan gambar-gambar program pemuliharaan panda.
Bexell berkata, habitat panda turut diancam akibat pembangunan dan kerancakan industri pelancongan China.
Malah pengkritik mendakwa, pusat pembiakan 'kilang panda' merupakan satu penipuan untuk mengaburi rakyat China dan seluruh dunia.
China kini menjalankan bancian baharu untuk menganggarkan jumlah sebenar gergasi itu yang masih hidup, program pertama dilakukan sejak sedekad lalu selepas mendapati kurang daripada 1,600 panda yang masih wujud di dunia ini.
Bexell menyuarakan kebimbangan terhadap program China itu yang mungkin akan menghasilkan keputusan yang teruk.
Katanya, tindakan kerajaan China mungkin akan membuatkan lebih banyak panda hidup melalui cara dipelihara berbanding habitat asalnya yang hidup sebagai haiwan liar.
Terbaru, seekor panda muda diberi nama Tao Tao dilepaskan ke dalam hutan simpanan di wilayah Sichuan dan merupakan satu-satunya panda peliharaan yang hidup di hutan semula jadi.
Tao Tao mengikut jejak langkah seekor lagi panda Xiang Xiang yang dilepaskan tiga tahun lalu, namun ditemui mati 10 bulan kemudian, dipercayai mati akibat bergaduh dengan panda liar.
sumber- AGENSI
No comments:
Post a Comment