Pada malam Krismas yang sejuk, terdapat seorang gadis yang perpakaian compang-camping sedang menjual mancis. "Puan nak beli mancis tak? Belilah puan." "Maaflah, masih banyak mancis di rumah." Tiada seorang pun yang mahu membeli mancisnya.
Jika gadis tersebut pulang tanpa sebarang hasil jualan, dia akan dipukul oleh ayahnya. Ketika dia ingin menyeberangi jalan, tiba-tiba muncul sebuah kereta kuda yang bergerak laju, "Jaga-jaga!" Gadis tersebut melompat ke tepi. Pada ketika itu, sebelah kasut yang dipakainya terlempar entah kemana manakala sebelah lagi berada di seberang jalan. Dia cuba mendapatkan kasutnya semula tetapi belum sempat dia mencapai, muncul seorang budak lelaki mengambil kasut tersebut. "Wah, saya terjumpa baranglah!" jeritnya sambil berlari-lari.
Akibat kehilangan kasutnya, terpaksalah dia berkaki ayam dalam keadaan keletihan. Dalam perjalanan pula, mancis yang dibawanya jatuh berselerak. Ternyata mancis-mancis tersebut sudah tidak mampu untuk dijual. Dia hanya membayangkan hukuman yang bakal diterima apabila pulang ke rumah. Tiada apa yang dia mampu lakukan selain berserah pada takdir. Tiba-tiba, di suatu sudut dia terpandang cahaya dari tingkap rumah seseorang. Dia hanya terdengar gelak ketawa keriangan dari dalam rumah tersebut.
Dengan perasaan ingin tahu, dia menjenguk ke tingkap rumah tersebut. Apa yang dilihatnya adalah unggun api yang memanaskan seisi rumah dan juga hidangan hari Krismas yang cukup menyelerakan. Gadis tersebut menitiskan air mata. "Semasa ibu masih hidup, keluargaku juga meraikan hari Krismas sebegini," kata hatinya. Sekali lagi dia menjenguk ke tingkap dan melihat kotak-kotak hadiah yang banyak tersusun di pohon Krismas. Tidak lama selepas itu lampu dipadamkan. Keadaan menjadi sunyi kembali.
Salji terus-menerus turun tanpa hentinya. Gadis si penjual mancis menggigil kesejukan serta kelaparan sehinggakan dia tidak berdaya untuk bergerak. Dia cuba menghembuskan nafas ke tapak tangan bagi memanaskan badan, namun ianya hanyalah sia-sia. "Kalau aku nyalakan mancis ini, mungkin aku akan sedikit panas." Kemudiannya gadis tersebut menyalakan sebatang mancis dengan menggoresnya di dinding.
Dari nyalaan mancis tersebut, muncul alat pemanas. "Oh, hangatnya," gadis tersebut mengangkatkan tangannya ke arah alat pemanas itu. Ketika nyalaan mancis mula terpadam, alat pemanas tersebut turut sama lenyap. Dia terus nyalakan batang mancis kedua. Dari nyalaan kedua muncul pula pelbagai jenis makanan yang lazat memenuhi meja. "Wah, sedapnya!". Hidangan itik panggang melayang-layang menghampirinya. Apabila ingin dijangkau, nyalaan api terpadam dan kesemua makanan tersebut hilang.
Dia nyalakan sekali lagi. Kali ini muncul sepohon Krismas yang sangat besar, " Wah, lebih cantik dari pokok yang aku lihat di tingkap tadi!" Pada pepohon Krismas tersebut, terdapat banyak lilin yang bersinar. "Cantiknya!" Angin meniup nyalaan mancisnya tetapi kali ini cahaya lilin dari pepohon Krismas perlahan-lahan menjadi bintang di langit. "Mungkinkah ada seseorang yang akan pergi ke tempat tuhan pada malam ini? Mendiang nenek pernah menceritakan kepadaku ketika dia masih hidup." Sambil merenung ke langit, gadis tersebut teringatkan neneknya. Dia menyalakan mancis sekali lagi, kemudiannya muncul nenek yang amat dirinduinya. Sambil tersenyum, neneknya menghulurkan tangan.
"Nenek!" Terasa bagaikan mimpi, gadis tersebut terus melompat ke dalam pelukan neneknya. "Nenek, saya rindu pada nenek." Gadis si penjual mancis menceritakan segala apa yang berlaku. "Kenapa nenek tinggalkan saya? Bawalah saya bersama nenek." Api yang dinyalakannya hampir padam. "Tidak, kalau api ini padam, nenek akan hilang sama seperti pemanas dan makanan tadi. "Gadis si penjual mancis menyalakan kesemua mancis yang ada. Cahaya nyalaannya terang seperti di siang hari. Gadis tersebut memeluk erat neneknya dan perlahan-lahan mereka naik ke langit. "Nenek, kita mahu ke mana?" "Ke tempat Tuhan." Kedua-dua mereka terapung semakin tinggi. "Di sana ibumu telah menyediakan makanan yang lazat untuk kita." Gadis kecil itu tersenyum gembira.
Pada pagi berikutnya, orang ramai yang lalu lalang menemui gadis si penjual mancis dalam keadaan ditimbusi salji. "Habislah, gadis kecil pengsan di tempat sebegini! Cepat panggil doktor!" Orang ramai berteriak cuba mendapatkan bantuan. Wanita yang menolak dari membeli mancis gadis tersebut semalam juga turut berasa kesal. "Kasihan kamu nak, kalaulah mak cik tahu kamu tiada tempat untuk pulang, ikutlah mak cik balik ke rumah." Orang ramai mengadakan upacara pengkebumian gadis tersebut di gereja. Mereka berdoa agar dibukakan hati mereka bagi membantu sesiapa sahaja yang memerlukan termasuklah orang miskin.
Kenapa tak boleh copy!!!
ReplyDelete