MASJID TANAH - Berpunca daripada insiden ejek-mengejek, seorang warga Nepal cedera parah apabila berlaku pergaduhan di sebuah rumah kongsi ladang ternakan ayam di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, Thara Bahadur, 37, cedera selepas urat tangan kanannya putus terkena cermin tingkap rumah yang dipecahkannya.
Anggota JPAM membantu memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum membawanya ke hospital. |
Ketika kejadian, mangsa dikatakan bersama empat rakannya dalam keadaan mabuk sebelum berlaku insiden ejek-mengejek sehingga merebak menjadi pertengkaran.
Mangsa dikatakan mengamuk bagi meleraikan pergaduhan itu dengan menumbuk deretan enam keping tingkap nako bahagian tepi rumah sehingga tangannya cedera.
Rakan mangsa, R.Selva, 27, berkata, ketika kejadian, dia berada di dalam bilik dan terkejut mendengar bunyi bising dari luar bilik.
Menurutnya, mangsa dilihat bersama empat rakan bersuka ria di dalam rumah kongsi berkenaan seawal kira-kira 8 malam bagi meraikan sambutan perayaan negara Nepal.
"Mereka kemudian dilihat mula mabuk sebelum saya terus masuk ke bilik semula tanpa menghiraukan keadaan mereka,” katanya kepada Sinar Harian.
Selva berkata, beberapa minit selepas itu, dia terdengar bunyi bising sebelum mendapati kumpulan berkenaan mula ejek-mengejek antara satu sama lain.
"Saya keluar bilik dan melihat berlaku tolak-menolak antara mereka dalam rumah. Bagaimanapun, mangsa tak semena-mena mengamuk seperti dirasuk lalu menumbuk deretan enam keping tingkap nako di bahagian tepi rumah sehingga pecah," katanya.
Menurutnya, mangsa terbaring menahan kesakitan, manakala rakan lain panik dengan serpihan kaca penuh atas lantai.
"Tangan kanan mangsa meleleh darah menyebabkan saya mengambil tuala dan membalutnya sebelum menghubungi polis untuk bantuan," katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Alor Gajah, Shahril Anuar Abd Rauf berkata, pihaknya tiba di lokasi kejadian sejurus selepas menerima laporan.
“Setiba di rumah itu, mangsa yang berlumuran darah di tangan ditenangkan rakan-rakannya. Kita memberi rawatan awal sebelum menghantar mangsa ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut," katanya.
sumber- Sinar
No comments:
Post a Comment