ANTARTIKA: Dikenali dengan judul South of Sanity, filem seram ini dikeluarkan oleh jurulatih memanjat dan pembuat dokumentari, Kirk Watson ketika bekerja di benua ais untuk Tinjauan Antartika Britain.
Ia merupakan filem cereka pertama di buat di Antartika. Pelakonnya pula terdiri daripada staf dan rakan sekerja di situ, manakala skripnya pula ditulis oleh Matt Edwards, seorang doktor yang tinggal di London.
Plot filem itu berkisar mengenai 14 pekerja yang bekerja di stesen terpencil, dibunuh seorang demi seorang oleh pembunuh.
Kirk berkata, “Kami melakukan penggambaran ketika cuti hujung minggu dan selebihnya penggambaran dibuat dalam gelap untuk menjadikan filem berkenaan lebih menyeramkan.”
Katanya, ada beberapa pelakon mereka yang kesejukan kerana mereka terpaksa duduk di luar agak lama atau berlakon menjadi mayat.
“Agak sukar melakonkan watak mayat kerana mereka menggigil, jadi kami terpaksa mengedit untuk menghilangkan pergerakan itu,” katanya.
Mereka juga terpaksa mengubah suai keadaan yang amat sejuk itu, manakala penulis skrip, Matt, yang juga bertugas sebagai jurumekap artis, menggunakan kit lukisan muka kanak-kanak dan resipi istimewa iaitu campuran pewarna makanan, tepung dan sirap untuk membuat darah tiruan.
“Ada beberapa aktor kami yang mengalami sedikit hipotermia ketika penggambaran tetapi mereka sudah tinggal di sana setahun jadi mereka sudah biasa,” kata Kirk.
Filem yang dikategorikan untuk 18 tahun ke atas, mendapat perjanjian pemasaran dari syarikat di Amerika Syarikat itu akan mula ditayangkan pada 31 Oktober di Aviemore, Scotland.
sumber- BBC
No comments:
Post a Comment