Bahardin kini koma dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur. |
KUALA LUMPUR – Gara-gara jalan rosak tidak dibaik pulih, bekas Naib Presiden Cuepacs, Bahardin Mohd Sohor, 67, koma sejak seminggu lalu selepas terbabit dalam kemalangan di Persiaran Lestari Perdana Fasa 1, Seri Kembangan 28 September lalu.
Kejadian jam 8.30 malam itu berlaku apabila Bahardin terhumban ke atas jalan selepas motosikal Yamaha Lagenda yang ditungganginya terperosok ke dalam lubang ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Puncak Jalil.
Mangsa yang cedera kemudiannya dikejarkan ke Hospital Serdang dan terpaksa menjalani pembedahan mata selain disahkan mengalami patah tulang rusuk dan mempunyai darah beku di otak.
Menurut anaknya, Izwan Bahardin, 34, kes ayahnya kemudian dirujuk di Wad Neurologi, Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum satu pembedahan dijalankan bagi membuang darah beku di otak dan paru-paru.
“Saksi memberitahu ayah yang menunggang perlahan tiba-tiba tercampak dan mukanya tersembam di atas jalan sebaik motosikalnya terlanggar lubang berikutan lampu jalan yang ada tidak berfungsi,” katanya.
Izwan berkata, sehingga kini ayahnya terpaksa menerima bantuan pernafasan dan makan melalui tiub berikutan kecederaan yang dialaminya agak serius.
“Mujur ketika kejadian tiada kenderaan lain mengekorinya dari belakang jika tidak keadaan pasti lebih buruk dari ini saya kesal kerana lubang yang wujud di jalan ini tidak dibaik pulih meskipun aduan pernah dibuat penduduk beberapa kali sebelum ini,” katanya.
Sementara itu tinjauan Sinar Harian ke lokasi itu semalam mendapati keadaan jalan tidak rata dan berlubang teruk sepanjang 20 meter.
Difahamkan beberapa kemalangan membabitkan penunggang motosikal pernah berlaku sejak dua bulan lalu di jalan itu namun tiada sebarang usaha daripada pihak berwajib untuk menurapnya.
“Saya harap pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera kerana kami mahu menuntut sejumlah pampasan rawatan perubatan ayah kerana kejadian ini berlaku disebabkan keadaan jalan yang tidak diselenggarakan dengan baik," katanya.
Susulan kejadian, dua laporan polis telah dibuat di Balai Polis Trafik Serdang.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abdul Razak Elias mengesahkan menerima laporan dan siasatan mendapati mangsa tidak sedar kewujudan jalan yang berlubang di situ berikutan keadaan kawasan agak gelap.
Sementara itu, jurucakap Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) ketika dihubungi akan menyiasat dakwaan itu dan akan memberi maklum balas dalam waktu terdekat berhubung kejadian yang berlaku.
sumber- Sinar
No comments:
Post a Comment