Anggota polis memeriksa mayat yang ditemui di aras bawah Plaza Melaka Raya, semalam. Gambar kecil: Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat 13 apartment di Plaza Melaka Raya. |
BANDARAYA MELAKA - Seorang wanita warganegara China ditemui mati dalam keadaan berdarah di muka dan kepala di aras bawah Plaza Melaka Raya, di sini, pagi semalam.
Mangsa, Chen Hong Ling, 19, dari Guizhou ditemui di celah pokok hiasan oleh orang awam kira-kira jam 11.30 pagi dan terjatuh dari bangunan yang turut menempatkan apartmen.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Deputi Superintendan PR Gunarajan berkata, mangsa dipercayai terjatuh dari sebuah bilik di tingkat 13 hingga mengakibatkan kecederaan parah di kepalanya.
“Turut ditemui berhampiran mangsa adalah sebuah telefon bimbit dan sepasang sandal dipercayai milik mangsa.
“Bagaimanapun tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mangsa," katanya, semalam.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, kematian mangsa tiada kaitan dengan unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Tiada juga sebarang tanda pergelutan di dalam sebuah bilik di tingkat 13, dipercayai tempat mangsa menginap.
“Bagaimanapun, mangsa kali terakhir dilihat menangis berdekatan Pasaraya Senyum oleh seorang lelaki tempatan yang kemudian membantu menenangkannya kira-kira jam 12 tengah malam tadi (kelmarin),” katanya.
Gunarajan berkata, pihaknya akan meneruskan siasatan lanjut dan meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk tampil membantu menyelesaikan kes dengan menghubungi atau datang ke balai polis berhampiran.
sumber- Sinar
No comments:
Post a Comment