BANDAR RAYA MEXICO: Kejayaan besar pihak berkuasa Mexico bertukar menjadi insiden memalukan semalam apabila mayat ketua kartel dadah Zetas yang dibunuh dicuri daripada rumah mayat.
Heriberto Lazcano yang disifatkan sebagai seorang yang bercita-cita tinggi dan tidak berperikemanusiaan adalah lelaki kedua paling dikehendaki di negara itu. Pembunuhannya adalah kejayaan besar buat kerajaan yang memerangi kartel dadah ekoran tentera persekutuan dikerah menumpaskan mereka sejak 2006.
Mayat Lazcano dan seorang lagi lelaki dibawa ke sebuah rumah mayat di bandar Sabinas di utara negeri Coahuila sejurus selepas mereka dibunuh dalam insiden tembakan Ahad lalu antara kumpulan mereka dengan pasukan khas tentera laut.
Namun, sekumpulan lelaki bersenjata berat memakai topeng kemudian memasuki rumah mayat itu dan menahan kakitangan di situ, kata pendakwa raya Coahuila, Homero Ramos di sidang media di Sabinas.
“Mereka mengambil mayat berkenaan, memasukkannya ke dalam kereta mayat dan mengarahkan pemandunya segera beredar,” kata Ramos.
Tentera laut Mexico yang menjalankan operasi menentang ketua Zetas itu berkata, cap jari dan foto digunakan untuk mengenal pasti mayat itu sebagai Lazcano sebelum ia dicuri.
sumber- AFP
No comments:
Post a Comment