Suhaidi tidak dapat menahan kesedihan selepas mengetahui bapanya sudah meninggal dunia. |
ROMPIN - Hasrat seorang lelaki melepaskan 'hajat' dalam kawasan semak terbantut apabila dikejutkan dengan penemuan mayat bapa mertuanya tergantung di atas sebatang pokok berdekatan tebing Sungai Endau, dekat Kampung Orang Asli Denai, di sini, pagi semalam.
Belaran a/l Iman, 52, berkata, dia keluar rumah kira-kira jam 7.15 pagi untuk ke hulu sungai mencari daun pucuk palas, tetapi perutnya secara tiba-tiba memulas.
Menurutnya, dia kemudiannya mengambil keputusan membuang air di kawasan semak berhampiran tebing sungai yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.
“Saya letakkan pisau dan minyak bot fiber di tepi semak, sementara mencari tempat yang sesuai untuk membuang air.
“Belum sempat saya membuang air, saya terkejut melihat sekujur mayat tergantung di atas pokok,” katanya kepada Sinar Harian.
Belaran berkata, pada mulanya dia tidak menyedari mayat itu adalah jasad bapa mertuanya, Sudin a/l Iman, 52, memandangkan tubuh lelaki itu tergantung menghadap ke sungai.
“Saya beranikan diri menghampiri mayat itu dan alangkah terkejutnya apabila mendapati lelaki itu adalah bapa mentua saya yang hilang sejak seminggu lalu.
“Longlai tubuh badan saya ketika itu. Kaki dan tangan saya menggeletar ketakutan, namun saya perlu keluar dari hutan untuk memberitahu ahli keluarga yang lain,” katanya.
Isteri mangsa, Bedah a/p Lera, 50, berkata, kali terakhir dia bertemu suaminya pada malam Sabtu lalu.
Menurutnya, suaminya dipercayai keluar untuk mencari daun pucuk palas di kawasan seberang sungai bagi menambah pendapatan keluarga.
“Sebelum ini, dia (suami) pernah dimasukkan ke hospital kerana masalah mental, namun sejak beberapa bulan lalu kesihatannya kembali pulih, tapi mungkin sakitnya itu menyerangnya semula selepas dia keluar dari rumah,” katanya.
Bedah berkata, suaminya seorang yang penyabar, peramah dan mengambil berat hal kekeluargaan .
Malah katanya, kehilangan suaminya itu menyebabkan anak bongsu mereka, Suhaidi a/l Sudin, 10, sering menangis kerana terkenangkan bapanya itu.
“Suhaidi masih tidak boleh terima kenyataan bapanya sudah tiada dan sering menangis hingga membuatkan kami sekeluarga risau.
“Biasanya, dia akan bermain bola sepak di tepi halaman rumah bersama bapanya, sebab itu kehilangan Sudin memberi kesan mendalam kepadanya,” katanya.
Bedah bagaimanapun menerima berita sedih itu dengan tabah dan berharap anak-anaknya juga dapat menerima kematian bapa mereka sebagai dugaan hidup.
“Saya pesan kepada anak-anak supaya jangan terlalu sedih kerana yang pergi tetap akan pergi.
"Kita yang hidup ini perlu meneruskan kehidupan,” katanya.
sumber- Sinar
No comments:
Post a Comment