TEXAS - Seorang wanita yang tinggal di North Texas diiktiraf oleh Guinness World Records sebagai penderma susu badan terbanyak bagi membantu kanak-kanak malang.
Alicia Richman, 28 dari Granbury, menderma 86 gelen atau 325.3 liter susu badan di antara Jun 2011 dan Mac lalu kepada badan kebajikan The Mothers' Milk Bank of North Texas.
Alicia Richman menjadi wanita pertama menderma 86 gelen susu badan kepada The Mothers' Milk Bank of North Texas. |
Jumlah tersebut dianggap terlalu besar kerana seorang bayi yang baru lahir hanya minum susu kira-kira 88 mililiter sehari.
Richman berkata, dia mengumpul susu badannya di mana-mana sahaja termasuk ketika bekerja dan bercuti.
''Saya tidak pernah membeli formula untuk meningkatkan pengeluaran susu badan,'' katanya.
Richman mula menderma susu badan selepas melahirkan anak lelakinya yang kini berumur 19 bulan selepas mendapati dia mengumpul susu melebihi keperluan anaknya.
''Saya mengumpul susu yang boleh memenuhi dua peti sejuk, ia melebihi apa yang anak saya perlukan,'' katanya.
Kemudian wanita tersebut memutuskan untuk membantu anak pra-matang dan bayi yang tidak sihat yang memerlukan susu badan berbanding susu formula.
''Saya merasakan Tuhan merahmati saya dengan pengeluaran susu badan yang banyak dan saya perlu membantu bayi yang sakit untuk mereka terus hidup,'' katanya.
sumber- Agensi
No comments:
Post a Comment