Pages - Menu

Saturday, October 13, 2012

Remaja OKU maut kemalangan

Remaja OKU maut kemalangan
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.
ALOR GAJAH - Seorang remaja orang kelainan upaya (OKU) meninggal dunia ketika menerima rawatan selepas motosikal yang ditunggang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda di Pengkalan berdekatan sebuah kuil, di sini, pagi semalam.

Difahamkan, dalam kejadian pada kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa, Abdul Halim Abdul Kadir, 16, dari rumahnya di Pengkalan menuju ke tempat kerja di sebuah bengkel mencuci kenderaan di pekan Alor Gajah.

Menurut sumber, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha TZM sendirian dari arah Pengkalan ke pekan Alor Gajah hilang kawalan ketika melalui selekoh hingga memasuki laluan bertentangan.

“Motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum muncul pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 30-an dari arah Jelatang,” katanya.

Menurut sumber, pemandu berkenaan cuba mengelak dari terus bertembung dengan motosikal mangsa namun gagal kerana jarak kenderaan semakin dekat.

“Akibat pertembungan itu, mangsa terjatuh manakala motosikal ditunggang terbabas dan terseret berdekatan dengan pacuan empat roda itu.

“Mangsa cedera di bahagian badan dan dibawa ke Hospital Alor Gajah menggunakan ambulans Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Alor Gajah untuk menerima rawatan,” katanya.

Bagaimanapun, difahamkan mangsa yang parah di bahagian badan dan dalaman disahkan meninggal dunia kira-kira sejam kemudian.

Ibu mangsa, Salina Hasan, 45, berkata, pada pagi sebelum kejadian arwah yang merupakan anak keempat dari enam beradik itu sempat menikmati sarapan sebelum ke tempat kerja.

“Kira-kira jam 8.30 pagi arwah sudah ke tempat kerja tetapi pulang semula pada jam 9 pagi untuk bersarapan dan arwah kelihatan berselera ketika makan,” katanya.

Kata Salina yang turut ditemani suami, Abdul Kadir Latif, 50, walaupun arwah dalam keadaan tergesa-gesa ke tempat kerja namun sempat bersalam mencium tangannya sebelum ke tempat kerja.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan mayat mangsa dihantar ke bilik mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

sumber- Sinar

2 comments: